Menteri Kerja Raya, Baru Bian berkata, kerajaan sebaliknya masih belum membuat sebarang keputusan muktamad mengenai perkara itu setakat ini.

Malah, cadangan berkaitan yang dibentangkan kepada Kabinet adalah untuk menggantikan PDP dengan kaedah lain bagi meneruskan baki kerja-kerja pembinaan projek mega tersebut.

“Adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa kami akan menggantikan PDP itu dengan projek secara model siap guna. Itu tanggapan yang salah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Masterclass Sistem Binaan Berindustri (IBS) anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan di sini hari ini.

Laporan sebelum ini menyatakan kementerian itu akan mengambil alih projek tersebut dan menggunakan kontraktor model siap guna bagi menggantikan PDP untuk menyiapkan baki pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo sejauh 2,324 kilometer.

Mengulas selanjutnya, Baru berkata, antara model pembinaan yang dipertimbangkan oleh kerajaan adalah menerusi syarikat tujuan khas serta inisiatif swasta.

“Semua itu adalah kemungkinan (untuk dilaksanakan). Oleh itu, seperti yang saya katakan adalah terlalu awal untuk membincangkan perkara ini sehingga kita membuat keputusan mengenainya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai kenyataan timbalan beliau, Mohd. Anuar Mohd. Tahir semalam bahawa keputusan mengubah model PDP itu akan diumumkan akhir bulan ini, Baru berkata, perkara itu masih belum diputuskan.

“Kita akan mengumumkannya sebaik saja perkara itu dapat dimuktamadkan. Tunggulah pengumuman saya selepas ini,” katanya. - BERNAMA