Presidennya, Musa Zahidin Ahmad Zaidee berkata, komitmen itu dilihat positif dan bermanfaat kepada ekosistem walaupun pada umumnya pertumbuhan industri automotif dijangka kecil pada tahun ini.

Katanya, berdasarkan angka dalaman pertumbuhan tersebut amat memberangsangkan kerana industri hanya berkembang enam peratus untuk tempoh Januari hingga April 2018 berbanding 2019.

“Secara keseluruhannya, berdasarkan anggaran kami industri berkembang kepada 193,200 kenderaan untuk empat bulan pertama tahun ini daripada 182,200 kenderaan pada tempoh sama tahun lepas meningkat sebanyak 11,000 kenderaan.

“Dalam tempoh sama, jualan Perodua meningkat seba­nyak 7,300 buah kenderaan. Ini bermaksud sejumlah besar daripada pertumbuhan industri datangnya daripada Perodua,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Musa Zahidin, ­Perodua sangat komited terhadap perkembangan ekosistem automotif domestik kerana secara purata kesemua modelnya mempunyai lebih daripada 90 peratus kandungan tempatan.

Menurut beliau, selain jaminan pembelian komponen bernilai hampir RM5.4 bilion, Perodua turut membantu ahli P2SA memacu transformasi operasi.

Katanya lagi, antara contoh bagaimana Perodua membantu dan menyokong pembekal tempatan adalah pelaburannya dalam acuan dan peralatan yang secara tidak langsung mengurangkan kos keseluruhan pinjaman ahli.

“Inisiatif ini bermula sejak Perodua Axia mula dikeluarkan pada 2014 berterusan untuk setiap model selepasnya. Perodua akan membeli acuan dan peralatan yang diperlukan daripada pengeluar masing-masing untuk digunakan oleh pembekal dalam menghasilkan komponen.

“Pembekal seterusnya boleh menyelaras kos pengeluaran mereka kerana tidak lagi perlu memohon pinjaman untuk membeli acuan atau peralatan. P2SA yakin Perodua dapat membangunkan dan mengu­kuhkan ekosistem automotif Malaysia berdasarkan rancangan mereka,” ujarnya.