BNM dalam kenyataannya berkata, ekonomi dunia sedang berkembang pada kadar yang lebih sederhana berikutan pertumbuhan lebih perlahan dalam kebanyakan negara maju utama dan negara sedang pesat membangun.

Katanya, ketegangan perdagangan yang meruncing baru-baru ini menunjukkan petanda bahawa perdagangan global akan menjadi semakin lemah pada masa hadapan dengan tanda-tanda limpahan yang kian ketara kepada aktiviti ekonomi domestik di beberapa buah negara.

“Pelonggaran dasar monetari di beberapa negara ekonomi utama telah mengurangkan keadaan kewangan global yang ketat, namun ketidakpastian ekoran ketegangan perdagangan yang berlarutan serta perkembangan geopolitik boleh membawa kepada ketidaktentuan pasaran kewangan yang keterlaluan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah bank pusat itu, prestasi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih kukuh pada suku kedua 2019 adalah disokong oleh perbelanjaan swasta yang berdaya tahan dalam keadaan pengembangan meluas dalam sektor-sektor ekonomi utama.

Menurutnya, pemacu pertumbuhan domestik bersama-sama dengan pasaran guna tenaga dan pertumbuhan upah yang stabil dijangka terus menyokong kegiatan ekonomi pada masa hadapan.

Katanya lagi, di sektor luaran, eksport Malaysia yang pelbagai akan dapat mengurangkan sebahagian daripada kesan kelembapan dalam permintaan global.

“Secara keseluruhan, unjuran pertumbuhan asas bagi tahun 2019 kekal tidak berubah iaitu dalam lingkungan 4.3 peratus hingga 4.8 peratus. Bagaimanapun, unjuran ini tertakluk pada risiko pertumbuhan yang lebih rendah selanjutnya berikutan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat, ketidakpastian mengenai persekitaran global dan domestik serta kelemahan berpanjangan dalam sektor berkaitan komoditi,” katanya.

Mengenai inflasi, BNM berkata, purata inflasi keseluruhan sejak awal tahun hingga kini ialah 0.3 peratus dan purata inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi pada bulan-bulan terakhir tahun ini dan menjelang tahun 2020.

“Walau bagaimanapun, inflasi keseluruhan dijangka kekal rendah. Hal ini mencerminkan luputnya impak daripada perubahan dasar cukai penggunaan, prospek harga minyak dunia yang secara relatif lemah dan langkah-langkah dasar yang diwujudkan untuk membendung harga makanan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE