Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna OCBC Bank, Lim Wyson berkata, langkah itu sejajar dengan usaha berterusan OCBC untuk menyesuaikan produk dengan lebih khusus bagi individu bernilai bersih tinggi (HNWI) iaitu mereka yang memiliki aset di bawah pengurusan lebih RM3 juta.

Menurut beliau, DPM Berbilang Pengurus dilaksanakan berasaskan maklum balas pelanggan bank yang menyatakan bahawa pilihan pengurusan portfolio adalah terhad dalam industri.

“Laporan Kekayaan Dunia 2018 menunjukkan bahawa HNWI dengan mandat budi bicara cenderung mencatatkan prestasi lebih baik berbanding dengan pendekatan hala tuju sendiri. Oleh itu, kami membuat keputusan menyediakan saluran baharu yang boleh dimanfaatkan oleh golongan ini.

“Kami tidak boleh menjamin pengurus dana tunggal akan terus mengungguli prestasi pasaran pada setiap masa, tetapi akan berusaha gigih untuk memastikan ia berfungsi dengan baik dengan menetapkan rangka kerja pemeriksaan dan pemantauan untuk menilai rangkaian pengurus dana tempatan serta global kami yang luas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE