Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya menjangka kira-kira 1,000 tan metrik durian varieti primier seperti Musang King (D197) dan Black Thorn (D200) akan dieksport ke negara itu sebulan.

“Nilaian kepada sumbangan eksport negara dijangka kira-kira RM0.5 bilion setahun,” katanya dalam majlis pelancaran pengeksportan sulung raja buah itu ke China di sini hari ini.

Turut hadir, Duta China ke Malaysia, Bai Tian.

Salahuddin berkata, kebenaran untuk mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji (whole fruit) telah diberikan kepada kumpulan pertama iaitu lima buah syarikat yang telah memenuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang ketat.

Syarikat terbabit ialah Exofruits Industry Sdn. Bhd., JL Food Industries Sdn. Bhd., PHG Ever Fresh Food (M) Sdn. Bhd., Top Fruits Sdn. Bhd. dan KAMI Food Services Sdn. Bhd.

“Kementerian berharap agar lebih banyak syarikat akan mendapat kelulusan mengeksport pada masa yang terdekat ini.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru kepada syarikat yang berminat agar merujuk dan mendaftar dengan Jabatan Pertanian (DOA) bagi memastikan mereka akan turut mendapat peluang untuk mengeksport ke China,” katanya.

Menurut Salahuddin, usaha Malaysia untuk menembusi pasaran China bagi buah durian telah dimulakan sejak tahun 2007 lagi.

Hasil rundingan di antara kerajaan kedua-dua buah negara, Malaysia akhirnya telah berjaya mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk ulas dan pes bermula pada Mei 2011.

“Nilai eksport pada tahun 2018 dalam bentuk ini adalah RM9.445 juta (235.62 tan metrik),” katanya.

Sementara itu, Tian mengalu-alukan kemasukan durian Malaysia yang disifatkannya terbaik di dunia, ke China.

Beliau yang mengakui penggemar durian yakin, durian Malaysia akan mendapat sambutan menggalakkan daripada 1.4 bilion penduduk China khususnya dalam kalangan 300-400 juta golongan pertengahan.

“Mereka menanti kedatangan durian terbaik dari Malaysia. Saya berharap perdagangan ini akan berkembang maju.

“Ia pastinya akan memberi manfaat kepada lebih ramai penanam durian di Malaysia dan saya juga menyokong inisiatif mewujudkan pelancongan durian,” katanya. - UTUSAN ONLINE