Peniaga minyak sawit, David Ng berkata, penyusutan ringgit berbanding dolar AS juga dilihat menyokong pasaran MSM dalam jangka terdekat.

“Bagaimanapun, inventori yang tinggi mempengaruhi sentimen pasaran di tengah-tengah keadaan paras stok keseluruhan di dalam negara dijangka meningkat.

“Kami menetapkan paras sokongan pada RM2,000 satu tan dan rintangan pada RM2,150 satu tan,” katanya di sini hari ini.

Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.1770/1800 berbanding dolar AS daripada 4.1550/1600 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Sementara itu, ketika penutup pasaran hari ini, bulan semasa Ogos 2019 meningkat RM14 kepada RM2,027 satu tan, September 2019 dan Oktober 2019 masing-masing menokok RM31 kepada RM2,063 dan RM2,093 satu tan manakala November 2019 naik RM30 kepada RM2,123 satu tan.

Jumlah dagangan berkurangan kepada 27,355 lot daripada 30,027 lot pada Jumaat lepas manakala minat terbuka susut kepada 231,133 kontrak daripada 238,131 kontrak.

Di pasaran fizikal, Ogos Selatan menokok RM30 kepada RM2,040 satu tan. - BERNAMA