Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) berkata, meskipun pekerja dan rakyat sengsara, tiada siapa pun peduli apabila pihak bank meneruskan usaha automasi dan pendigitalan secara besar-besaran kerana inilah realiti sektor perbankan masa kini.

Malah, kesatuan itu dalam Suara NUBE bagi keluaran 3/19 yang dikeluarkan hari ini, menegaskan sebarang kemajuan teknologi sebaiknya tidak harus melenyapkan kehidupan pekerja mereka demi membolehkan sesebuah negara dapat berkembang.

Setiausaha Agung NUBE, J. Solomon ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, secara purata, setiap tahun kira-kira 10 peratus ahli NUBE berkurangan dalam anggaran 1,500 hingga 2,000 pekerja bank.

Jelas beliau, sejak 2017 sebanyak tiga bank telah mengeluarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) dan skim pemisahan bersama (MSS) atau dengan nama lain dan sasaran pengurangan pekerja mereka dalam purata antara 20 hingga 25 peratus.

Katanya, ini bermakna ia melibatkan lebih kurang 3,000 hingga 3,500 pekerja.

“Keadaan ini berlaku sejak 2015 dan akan berterusan sekiranya kerajaan tidak mengambil sebarang langkah untuk menjamin pekerjaan mereka.

“Pekerja-pekerja ini yang merupakan golongan berusia akan menjadi tanggungjawab kerajaan dan masyarakat sekiranya mereka tidak ada pendapatan untuk berdikari,” jelasnya.

NUBE dalam laporan persatuan itu turut meminta Bank Negara Malaysia (BNM) mengawal dan mengekang pendigitalan yang kini dilihat semakin keterlaluan dan seterusnya memberi impak buruk kepada 30,000 pekerja sektor perbankan.

Katanya, NUBE tidak menentang sebarang kemajuan teknologi atau perubahan kerana mereka sedar ia adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun, pada masa sama pelaksanaannya tidak harus dipaksa sehingga membelakangkan masa depan rakyat Malaysia.

“Oleh itu, apa yang harus dilakukan oleh kerajaan? Pertama, pihak berkuasa yang relevan dan majikan perlu mula mendengar rintihan pekerja dan rakyat. Malangnya semua agensi utama kerajaan setakat ini seakan memekakkan telinga terhadap rintihan kalangan pekerja dan pelanggan.

“Keadaan ini mendedahkan kerajaan kepada risiko di lihat sebagai berada di bawah telunjuk korporat. la juga menambah kemungkinan pekerja miskin menjadi bertambah miskin malah terus dibuli oleh majikan. Ini jelas melanggar hak asasi manusia,” katanya dalam Suara NUBE bagi keluaran 3/19 yang dikeluarkan hari ini.

Menurut NUBE, kerajaan sekarang perlu mengambil iktibar daripada pentadbiran terdahulu yang mewujudkan kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan enggan melayan kebimbangan rakyat marhaen.

“Tindakan dalam kalangan Menteri Kabinet, agensi awam dan pegawai penguat kuasa menutup mulut, mata dan telinga kepada penyelewengan yang berlaku akhirnya menyumbang kepada kekalahan Barisan Nasional,” katanya.

NUBE juga khuatir kerajaan sekarang dilihat tidak mampu untuk membela golongan miskin daripada kerakusan majikan yang ghairah mengaut keuntungan dan realiti ini ketara dalam sektor perbankan.

Jelasnya, NUBE ingin mengingatkan kerajaan perlu campur tangan dan mengambil tindakan terhadap bank-bank yang menutup cawangan dan memaksa pelanggan menggunakan khidmat automasi dengan sewenang-wenangnya.

“Jika tidak, kerajaan yang ada sekarang berisiko menanggung imej lebih buruk daripada pentadbiran terdahulu yang tercalar dengan isu 1MDB.

“Kepada majikan bank, kami minta sila pamerkan nilai-nilai mulia dan berperikemanusiaan dalam melayan pekerja bawahan. Sedarlah bahawa kedudukan tinggi adalah hasil darah, keringat dan air mata pekerja yang meraih gaji kecil, jauh daripada mencukupi untuk menyara diri dan keluarga,” jelasnya.

(Sumber: Suara NUBE)

#1 Kemunculan perbankan maya dan pelaksanaan pendigitalan memperkayakan sekumpulan kecil tetapi nasib pekerja tidak tentu arah.

#2 Operasi tertentu perbankan diserah kepada syarikat yang ditubuhkan khusus untuk beberapa individu mengaut keuntungan lumayan.

#3 Bank menjadikan pendigitalan dan automasi sebagai alasan membuang pekerja dan merasionalisasi cawangan manakala pengurusan kanan terus meraih habuan berlebihan.

#4 Pengguna dibebankan dengan kos teknologi dan automasi tinggi apabila terpaksa membayar pelbagai caj dan levi tambahan.