Pengarah Urusannya Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata inisiatif pasaraya itu juga dapat membantu pengusaha IKS yang menghasilkan produk halal tanpa pensijilan halal meningkatkan keyakinan pengguna Islam terhadap produk mereka yang mesra umat Islam.

“Berbeza dengan pasaraya dan cawangan Mydin di Semenanjung yang mana semua produk ada sijil halal sahaja boleh dijual, di Sabah permohonan untuk mendapatkan pensijilan halal satu perkara yang bukan mudah bagi pengusaha IKS dan di sini kita (Mydin Sejati Ujana) membantu mereka dalam hal itu.

“Mydin mempunyai satu pasukan yang akan memastikan produk mereka benar-benar mempunyai ramuan halal agar boleh menjual produk mereka di Mydin dan bila perniagaan mereka semakin maju, mereka akan mampu untuk memohon pensijilan halal dan juga boleh menjual produk mereka di Mydin di Semenanjung,” katanya kepada pemberita selepas pembukaan rasmi Mydin Sejati Ujana di sini, hari ini. - BERNAMA