MED dalam kenyataannya berkata, MUN 2019 merupakan program susulan daripada pelancaran Dasar Keusahawanan Nasional 2030 pada bulan lalu.

Jelasnya, program berkenaan merupakan inisiatif MED untuk mengintegrasikan pelbagai aktiviti dan program keusahawanan merentasi kementerian, agensi serta pihak swasta dalam satu platform atau ekosistem yang menyeluruh.

“Di samping itu, penganjuran MUN 2019 ini juga akan bertindak sebagai pemangkin serta hala tuju ke arah mencapai Negara Keusahawanan Unggul 2030.

“MUN 2019 menyokong peranan utama MED dalam memacu pembangunan keusahawanan negara. Selain itu, MUN 2019 bertindak sebagai program utama berorientasikan keusahawanan di peringkat nasional yang diselaraskan oleh MED melalui kerjasama semua pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan di sini hari.

Tambah kementerian itu, MUN 2019 bertindak sebagai platform penganjuran pelbagai program dan aktiviti berteraskan keusahawanan.

Menurutnya, ia merangkumi aktiviti seperti pameran dan jualan produk, padanan perniagaan, sesi interaktif, seminar perniagaan, khidmat runding dan nasihat secara langsung kepada usahawan dan jualan barangan asas.

“Tumpuan utama penganjuran MUN 2019 adalah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) Nasional yang akan memberi fokus kepada usahawan SDSI dari seluruh negara merangkumi lima kluster utama iaitu makanan dan minuman, inovasi, inap desa, kraftangan dan kesihatan serta penjagaan diri.

“Selain itu, penganjuran Konvensyen Usahawan Wanita sempena MUN 2019 secara tidak langsung mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan keusahawanan secara keseluruhan mela­lui pengisian aktiviti dan program yang bersesuaian,” ujarnya.

MUN 2019 memberi fokus kepada beberapa kumpulan khusus seperti penyertaan usahawan dan vendor tempatan, syarikat milik kerajaan (GLC), kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, kerajaan-kerajaan negeri, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), institusi kewa­ngan, institusi pengajian tinggi awam dan swasta, golongan belia dan B40.