MPSepang dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menyasarkan kehadiran sebanyak 80 peratus pelancong tempatan dan 20 peratus pelancong antarabangsa dengan sasaran pendapatan sebanyak RM5 bilion sepanjang tempoh itu.

“Pada 8 Mac lalu, MPSepang telah mengadakan pra pelancaran TMS2020 di Internationale Tourismus Borse (ITB) Berlin, Jerman untuk memperkenalkan lagi lokasi tarikan pelancongan dan produk industri kecil dan sederhana (IKS) di Sepang.

“Antara acara menarik dianjurkan sempena TMS2020 ialah festival budaya, larian TMS2020, melayari Sungai Sepang Besar, festival produk tempatan, festival buah naga dan juga festival pantai Bagan Lalang dan banyak lagi,” jelasnya dalam kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataannya itu lagi, selain promosi di Eropah, MPSepang juga akan meningkatkan promosi untuk menarik lebih ramai pelancong dari Singapura, China, Jepun, Korea Selatan dan Australia selain pelancong tempatan.

Jelasnya, dengan tema ‘Sepang Gerbang Negara’, TMS2020 menepati matlamat hala tuju kerajaan negeri Selangor yang mahu sektor pelancongan menjadi penyumbang kepada pendapatan negeri sekaligus memperkembangkan peluang pekerjaan dan penyelidikan.

“MPSepang yakin daerah Sepang akan menjadi kawasan pelancongan yang dinamik bersesuaian dengan lokasinya yang menjadi pintu masuk utama ke Malaysia iaitu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan KLIA2,” jelasnya lagi.-UTUSAN ONLINE