Menterinya, Datuk Se­ri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana isu tersebut dijangka dibangkitkan oleh pihak ter­tentu terutama menje­lang Pilihan Raya Umum Ke-14 tahun hadapan.

Katanya, agenda ter­sebut akan menjadi antara fokus utama kementerian selain kepada pelaksanaan industri 4.0 dan meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana.

“Sebagai kerajaan, isu hubungan dagangan ini perlu dijelaskan dengan lebih telus kerana akan ada pihak-pihak tertentu akan memberi tekanan kepada perkara ini secara berterusan.

“Apatah lagi, pada suku ketiga tahun ini ia menyaksikan pelaburan China di Malaysia lebih tinggi berbanding pelaburan Malaysia di China,” katanya dalam majlis minum petang MITI bersama media.

Yang turut hadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan serta agensi di bawah MITI seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).

Sejak 2009, China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia (menggantikan Singapura) dengan hubungan dagangan dua hala tahun lalu sahaja berjumlah AS$83.4 bilion (RM356.91 bilion). China juga adalah pasaran eksport terbesar Malaysia.

Pada pembentangan program MITI pada 2018, Mustapa memberitahu, pihaknya akan terus mempromosi dan memperkasa keusahawanan dan perdagangan sebagai fokus utama kerana ia adalah segmen yang berpotensi memberi pulangan kepada negara.

Sementara itu, beliau berkata, Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dijangka dimuktamadkan pada penghujung 2018.

“Kebanyakan negara termasuk Malaysia masih mempunyai beberapa isu yang perlu dibincangkan terlebih dahulu sebelum dapat dibentang dan mencapai keputusan,” katanya.