Pelan Renault Subscription

Renault berkata, skim itu menawarkan pelanggan de­ngan dua pelan pilihan dua rancangan, Tetap dan Tukar dan mereka yang memilih Pelan Tetap lebih berstruktur boleh menikmati model ­Captur dari serendah RM1,299 sebulan dan Koleos dari RM2,299 sebulan.

Katanya, sebagai alternatif, pelanggan boleh memilih untuk menggunakan Pelan Tukar yang sangat fleksibel yang mana pelanggan boleh menukar antara kedua model Renault, serendah RM1,999 sebulan, bergantung kepada keper­luan.

“Sebagai yang pertama di pasaran, Renault Subscription merupakan saingan bagi skim pajak tradisional dan ia menawarkan faedah antaranya, ­tiada terma tetap jangka panjang dan mahal.

“Selain itu, kadar yang sa­ngat kompetitif dapat menggalakkan pelanggan mencuba model Renault yang berlainan dan kebebasan untuk beralih antara model Renault yang berbeza untuk tempoh pilihan pelanggan, tanpa sebarang kunci atau penalti (melalui Pelan Tukar),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Para pelanggan juga akan menikmati kos menyeluruh termasuk cukai jalan, insurans dan penyelenggaraan tetap dilindungi dalam pakej.

Tambah Renault, pelanggan Pelan Tukar juga dilin­dungi dengan perbatuan yang tidak terhad, manakala maksimum perbatuan tahunan sebanyak 20,000 kilometer akan dikenakan kepada pelanggan di bawah Pelan Tetap.

“Selain itu, pelanggan juga bakal menikmati penjimatan tambahan dengan bayaran pendahuluan sifar dan tiada kadar faedah yang biasanya dikaitkan dengan pinjaman sewa beli,” katanya.

Bergantung kepada pelan yang dipilih, pelanggan dikehendaki membayar ­deposit keselamatan sebanyak RM2,500 atau RM3,500, yang boleh dikembalikan.

“Untuk masa terhad sahaja, pelanggan yang melanggan akan menerima langganan percuma selama sebulan untuk Pelan Tetap dua tahun,” katanya.