Dalam nota hari ini, firma penyelidikan itu berkata, hasil dividen sebanyak empat peratus, peningkatan perbelanjaan modal (capex), mencadangkan ruang untuk dividen terus meningkat atau pertumbuhan perolehan, manakala penjanaan keuntungan daripada aset gentian teras menjadi pemangkin utama bagi saham.

Dalam lawatan ke projek solar berskala besar (LSS) 1 TNB, TNB Sepang Solar (TSS), MIDF berkata, dijangka capex bagi kabel, tidak termasuk kos bagi Right of Way, adalah RM1 juta bagi setiap kilometer (km).

“Walaupun butiran capex sebenar akan datang tidak diberikan, kami menganggarkan TSS akan mencatatkan capex antara RM5.5 juta hingga RM6 juta setiap megawatt (MW) atau sejumlah RM275 juta hingga RM300 juta berikutan kos projek itu dibuat sekitar 2016,” katanya.

MIDF Research juga berkata, kos dijangka berkurangan sejak itu kepada kira-kira RM3 juta hingga RM4 juta/MW sekarang dan ini sepatutnya dicerminkan dalam projek LSS2 (TNB Bukit Selambau) atau LSS3 bergantung pada bila kos itu dimuktamadkan.

Untuk rekod, Tenaga menerusi TSS telah memenangi bidaan LSS1 untuk membina dan mengendalikan operasi projek solar 50MW di tapak seluas 98.34 hektar di Kuala Langat, yang dipajak daripada Tenaga pada kadar pasaran, di bawah perjanjian pembelian tenaga kuasa selama 21 tahun.

Pada 11.44 pagi, kaunter TNB melonjak 20 sen kepada RM13.62, dengan 7.30 juta saham diniagakan. - BERNAMA