Tahun 2018 menjadi tahun yang penting untuk e-dagang. Menurut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking, e-dagang menyumbang sebanyak RM86.5 bilion untuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2017 dengan pertumbuhan tahunan pada 12.5 peratus.

Di samping itu, Google baru-baru ini meningkatkan ramalannya dengan menyatakan sektor e-dagang berkembang lebih cepat daripada dijangkakan dan akan meraih RM426 bilion dalam nilai barangan kasar (GMV) menjelang 2025.

Sebelum menamatkan tahun ini, kami menjalankan kajian untuk mengetahui siapa pemain paling berjaya di Malaysia dan Asia Tenggara, persaingan dan menunjukkan perkembangan paling menarik pada 2018. Untuk memperoleh penemuan itu, kami menganalisis corak carian pengguna di Google dan jumlah kunjungan di desktop serta web mudah alih menggunakan data daripada SimilarWeb.

Menggunakan data SimilarWeb, kami juga menganalisis syarikat e-dagang yang pa­ling banyak dikunjungi (melalui desktop dan mudah alih) di peringkat serantau. Platform e-dagang yang dipaparkan dalam kajian ini telah dipilih berdasarkan prestasi mereka dalam kajian kami di Map of E-commerce. Semua data mengenai jumlah lawatan di desktop dan web mudah alih dalam kajian ini diambil daripada angka trafik global laman web masing-masing.

Perjuangan untuk tempat teratas

Dengan menganalisis jumlah kunjungan di desktop dan web mudah alih yang diperoleh setiap platform e-dagang, kami dapat menentukan siapa yang mendapat bahagian pasaran terbesar dalam lawatan untuk 2018. Lazada kekal sebagai pendahulu dan memegang pasaran terbesar daripada jumlah kunjungan pada 46 peratus diikuti Shopee dan 11street iaitu ma­sing-masing, 23 peratus dan 13 peratus.

Lazada, yang disokong oleh Alibaba menerima cabaran kuat daripada Shopee yang meningkatkan jumlah kunjungannya di desktop dan web mudah alih sebanyak 98 peratus antara suku keempat dan suku tahun 2018. Menjelang akhir 2018, Shopee mengejar pendahulunya seba­nyak 62 peratus dan menjadi pesaing terdekat Lazada.

Platform e-dagang Malaysia paling banyak dilawati di desktop dan web mudah alih ialah Lelong, Hermo dan GoShop. Lelong adalah platform e-dagang keempat selepas Lazada, Shopee dan 11street dan mempunyai purata lima juta pengunjung pada 2018.

Tempoh beli-belah dalam talian paling popular

Dengan menganalisis corak carian rakyat Malaysia di Google, kita melihat jualan Hari Sing­les, Jualan 12.12, jualan hari jadi, jualan Hari Raya dan ketika cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan mendapat perhatian dan menarik minat pengguna paling banyak.

Jualan Hari Singles memperoleh tarikan yang lebih besar pada 2018 berbanding tahun-tahun sebelumnya disebabkan peningkatan pelaburan oleh pelbagai pemain untuk mempromosikan acara tersebut.

Ini kerana pemain seperti Lazada menganjurkan 11.11 Super Show untuk mempromosikan acara tersebut. Pemain lain juga memulakan pelbagai aktiviti luar talian dan dalam talian untuk mendapatkan pengguna membeli-belah.

Tahun 2018 juga menyaksikan kebangkitan Jualan Hari Lahir yang dimulakan oleh Lazada dan diikuti oleh Shopee. Lebih daripada itu, acara ini sebenar­nya mendapat minat yang lebih tinggi berbanding jualan Hari Singles.

Acara lain yang mendapat perhatian tinggi terhadap platform e-dagang di Malaysia adalah penjualan Hari Raya dan GST dimansuhkan pada 1 Jun.

Di Google, lima platform e-dagang teratas di Malaysia menyaksikan penurunan minat mencari pada 9 Mei semasa tempoh pilihan raya umum ke-14 dan pada Hari Raya apabila kebanyakan pengguna berada di luar talian untuk merayakan peristiwa tersebut.

Platform e-dagang yang paling banyak dilawati di Asia Tenggara

Bahagian pasaran terbesar melalui jumlah kunjungan di desktop dan web mudah alih tahun ini dikuasai oleh Lazada sebanyak 27 peratus, Tokopedia (17 peratus), Shopee (15 peratus) dan Bukalapak (12 peratus).

Lazada mengekalkan kedudukan peneraju pasaran walaupun menghadapi persaingan sengit daripada Tokopedia dan Shopee sepanjang tahun. Menjelang akhir 2018, kita melihat Shopee semakin mengejar Lazada untuk menjadi pesaing terdekatnya.

Shopee meningkatkan jumlah pengunjung melalui penggunaan desktop dan web mudah alih bagi mengatasi Tokopedia dan mengurangkan penguasaan Lazada sebanyak 66 peratus menjelang November 2018.

Jeremy Chew adalah Ketua Pemasaran Kandungan di iPrice Group Malaysia (https://iprice.my)