Bunyi macam seram dan menakutkan tetapi ini adalah kisah yang saya sendiri jumpa sepanjang pengalaman saya membantu rakyat Malaysia merancang harta dan mengurus pusaka mereka.

Kahwin suami orang

Pak Dollah dan Mak Minah mempunyai seorang anak perempuan tunggal, Jamilah. Mereka sangat menyayangi Jamilah dan membesarkannya dengan penuh kasih sayang. Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, Jamilah bekerja di Kuala Lumpur sebagai kerani di sebuah kilang.

Pak Dollah faham kesan hukum faraid ke atas harta pusakanya. Dia faham Jamilah hanya berhak ke atas separuh daripada harta pusakanya sedangkan separuh lagi adalah bahagian adik-beradiknya kerana tiada anak lelaki.

Untuk memastikan hartanya hanya pergi kepada Jamilah, Pak Dollah telah memindah milik kebun kelapa sawit seluas 8.09 hektar kepada Jamilah. Selepas bersara, hasil daripada kebun itulah yang menyara kehidupannya selama ini. Hanya geran rumah yang didudukinya sahaja tidak dipindah milik.

Selepas beberapa lama tidak pulang ke kampung, tiba-tiba satu hari Jamilah pulang dengan membawa seorang lelaki, Nordin yang diperkenalkan sebagai suaminya. Pak Dollah dan Mak Minah kecewa, terperanjat dan sedih kerana Jamilah bernikah di sempadan tanpa pengetahuan mereka.

Tambah memburukkan keadaan Nordin telah beristeri dan Jamilah ialah isteri kedua. Hubungan anak-beranak ini mulai dingin selepas itu. Pak Dollah sangat malu dengan orang kampung.

Kebun dijual

Nordin bekerja sebagai ahli muzik di kelab malam dan pendapatannya tidak menentu ke­rana bergantung kepada kontrak yang diperoleh untuk bermain muzik. Dia kerap keputusan duit. Nordin selalu berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain mengikut kontrak kerjanya.

Memandangkan Jamilah sa­rat mengandung dan tidak berdaya mengikut Nordin berpindah randah, Jamilah pulang ke kampung. Dia melahirkan anak lelaki di kampung.

Pak Dollah dan Mak Minah kembali ceria. Kelahiran cucunya mengubah kehidupan mereka.

Satu hari ketika mahu ke kebun, Pak Dollah ditahan beberapa orang yang tidak dikenali­nya. Mereka tidak membenarkan Pak Dollah masuk mengambil hasil dari kebunnya. Barulah Pak Do­l­ lah tahu kebunnya telah dijual oleh Jamilah.

Pak Dollah sangat marah ke­rana mengetahui haknya telah dijual. Tetapi dia lupa kebun ini telah dipindah milik kepada Jamilah. Mengikut Kanun Ta­nah Negara 1965, nama siapa di dalam geran, dialah tuan punya tanah itu dan mempunyai kuasa penuh untuk menjual atau membuat apa-apa transaksi ke atasnya.

Ugut diceraikan

Dalam keadaan menangis Jamilah memberitahu Pak Do­llah dia terpaksa menjual kebun itu kerana dipaksa oleh suami­nya. Nordin yang kerap tiada duit itu mengugut Jamilah supaya menjual kebun itu jika tidak mahu diceraikan.

Duit itu mahu digunakan untuk menampung keluarga isteri pertamanya. Pak Dollah sangat marah dengan menantunya dan ingin bersemuka bagi mendapatkan penjelasan.

Apabila Nordin pulang ke kampung untuk bertemu de­ngan anak dan isterinya, Pak Dollah berhadapan dengan Nordin. Pak Dollah terperanjat sebab Nordin menengking dan meninggikan suaranya.

“Harta isteri saya, harta saya juga. Suka hati kamilah nak buat apa!” Nordin mengherdik Pak Dollah sambil terus membawa Jamilah keluar dari rumah. Anak lelakinya ditinggalkan kerana katanya susah nak membawa anak itu berpindah-randah bersamanya.

Tiada pewaris

Pak Dollah dan Mak Minah tiada waris lain selain Jamilah dan cucunya. Mereka bingung kerana perangai menantu hantu mereka (itulah yang mereka bahasakan Nordin bila bercerita kepada saya).

Dalam masa sama, mereka inginkan rumah yang mereka duduki sekarang diperoleh manfaatnya oleh Jamilah. Tetapi mereka takut Jamilah akan menjual juga rumah itu kerana paksaan Nordin. Apa yang boleh mereka lakukan?

Kepesatan industri perancangan harta dan pengurusan pusaka di Malaysia boleh membantu Pak Dollah dan Mak Minah dalam mencapai hasrat ini. Rumah itu boleh dihibahkan kepada cucu tunggal mereka. Walaupun cucu itu masih di bawah umur, seorang peme­gang amanah harta boleh dilantik bagi menerima akad hibah rumah itu bagi pihak cucunya.

Dengan kaedah ini, rumah itu dimiliki oleh cucunya tetapi buat masa ini dipegang secara amanah oleh pemegang ama­nah harta yang dilantik. Jamilah boleh menetap di rumah itu bersama anaknya tetapi tidak boleh menjual rumah tersebut.

Apabila cucu ini cukup umur 18 tahun, maka rumah ini boleh dipindah milik namanya daripada nama pemegang amanah kepada nama cucunya.

ARIFFIN SABIRIN adalah pengasas Wasiyyah Shoppe Berhad