Selain keuntungan modal, pelabur juga mendapat dividen yang dibayar oleh syarikat tersenarai sama ada sekali, dua kali atau sehingga tiga kali setahun. Terdapat juga dividen dikenali dividen khas selain dividen tahunan.

Pelabur perlu mengetahui pengiraan jumlah dividen yang akan diperoleh berdasarkan nilai par serta harga terlaras ­(adjusted price) saham syarikat tersenarai tersebut pada ex-date. Ini kerana pada ex-date harga akan berubah atau jatuh.

Mungkin pelabur merasa agak hairan kerana harga jatuh pada tarikh tersebut tetapi inilah hakikat yang berlaku sekiranya pelabur membeli ­saham syarikat tersenarai de­ngan ­tujuan mendapatkan pembayaran dividen.

Untuk membeli saham-­saham tersenarai yang memberi dividen, pelabur perlu memilih saham-saham syarikat yang kukuh dan mempunyai kedudukan kewangan positif atau stabil setiap tahun.

Sekiranya, pelabur membeli syarikat yang penyata ke­wangannya negatif atau tidak memberangsangkan, kemungkinan syarikat tersenarai itu tidak mampu membayar dividen kerana syarikat tidak dapat menjana keuntungan daripada perniagaan atau perkhidmatan yang dijalankan.

Pelabur juga perlu meme­gang saham tersebut untuk tempoh lama sekiranya matlamat pelabur selain meraih keuntungan modal, membeli saham untuk mendapatkan ­dividen tahunan.

Pelabur atau pedagang saham membeli saham dalam beberapa keadaan iaitu:

Pasaran bergerak naik

Istilah buy high sell higher ­iaitu membeli saham ketika harga sedang bergerak naik kerana pelabur atau pedagang saham menjangkakan saham tersebut akan naik lagi. Walaupun pelabur dan pedagang membeli saham yang harganya naik, mereka masih boleh menjualnya dengan harga lebih tinggi.

Pasaran belum naik lagi

Buy on dip atau bottom ­fishing iaitu membeli ketika pasaran saham jatuh atau menjunam dalam keadaan yang agak ­banyak. Antara kejatuhan yang boleh diambil peluang ialah kejatuhan secara limit-down ­kerana kejatuhan seperti itu boleh terjadi sebanyak tiga kali penurunan.

Kejatuhan yang drastik juga boleh disebabkan oleh berita-berita negatif sesebuah negara merangkumi dasar dan ekonomi, berita negatif syarikat-syarikat tersenarai dan juga berita utama di peringkat ­global termasuk bursa asing.

Berita ini adakalanya ­di­sifatkan sebagai bad news is good news iaitu berita-berita buruk ini merupakan satu peluang membeli saham ketika harga jatuh dengan banyak atau pelabur dan pedagang saham memperoleh harga diskaun.

Pasaran akan naik

Buy low sell high pula merupakan satu kelaziman biasa ­iaitu membeli saham syarikat tersenarai pada harga rendah dan menjualnya pada harga lebih tinggi.

Keadaan ini biasanya dapat dilihat semasa pasaran akan bertukar daripada fasa kejatuhan pada bulan-bulan terakhir kalendar dan akan berubah ke aliran menaik pada awal ­bulan-bulan tahun baharu setiap kalendar.

Perlu ditekankan di sini, membeli saham syarikat tersenarai semasa pasaran jatuh lebih rendah risikonya daripada membeli ketika pasaran sedang naik.

Tidak dinafikan di dalam analisis teknikal menyatakan bahawa;

  • Sesuatu keadaan yang naik akan naik lagi
  • Sesuatu keadaan yang jatuh akan jatuh lagi

Disebabkan keadaan ini, kadangkala pasaran menjadi rumit. Tidak hairanlah sekiranya terdapat pelabur dan pedagang saham termasuk yang ber­pengalaman kadangkala menghadapi kesukaran meramal hala tuju pasaran.

Ini disebabkan oleh:

  • Sesuatu keadaan yang jatuh boleh naik keesokannya
  • Sesuatu keadaan yang naik boleh tiba-tiba jatuh keesokannya

Pelabur dan pedagang saham perlu berfikir dahulu empat perkara di bawah ini sebelum membeli sesuatu saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.

  • Nak beli saham syarikat tersenarai apa?
  • Pada harga berapa nak beli?
  • Berapa banyak unit saham yang hendak dibeli?
  • Pada harga berapa saham syarikat tersenarai tersebut akan dijual?

Keempat-empat perkara di atas ini jarang terdapat pada diri pelabur dan pedagang saham baharu. Mereka biasa­nya membeli sesuka hati dan adakalanya membeli saham berdasarkan kepada berapa banyak modal yang mereka ada dan hanya melihat kepada harga saham syarikat tersenarai semata.

Seminar Pasaran Modal ­Utusan akan diadakan pada 28 Julai 2019. Sila hubungi talian 010-836 0826 atau 013-310 8156 untuk pendaftaran.