Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kesemua peruntukan tersebut telah diluluskan dan akan digunakan untuk melaksanakan projek-projek pembangunan demi manfaat rakyat.

Menurutnya, terdapat juga permohonan tambahan yang diterima daripada Melaka terutamanya bagi menyelesaikan beberapa isu utama termasuk masalah banjir di Alor Gajah dan Melaka Tengah, kemudahan hospital dan penyuraian trafik.

“Ketua Menteri, Adly Zahari telah memohon peruntukan tambahan selain peruntukan RM660 juta yang telah diluluskan itu dan saya melihat cadangan ini wajar diberi keutamaan dan pertimbangan oleh kerajaan Persekutuan.

“Justeru, mesejnya akan dibawa kepada kementerian berkaitan antaranya Kementeri Kesihatan, Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli untuk mendapatkan peruntukan tambahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Seminar Melaka Berwibawa di Hotel Hatten di sini sebentar tadi.

Selain Adly, yang turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Hasim Hasan. - UTUSAN ONLINE