Ketua Pegawai Eksekutifnya, Surina Shukri berkata, unit itu disertai pakar-pakar tempatan dan antarabangsa bagi memastikan Malaysia berada di landasan yang tepat untuk membangunkan ekosistem AI.

Beliau berkata, pakar antarabangsa tersebut telah dikenal pasti dan bersedia membantu Malaysia dalam membangunkan industri berkenaan.

Sambil memberikan contoh, beliau berkata, United Kingdom turut mempunyai unit AI seumpama itu dengan kerjasama kesemua agensi berkaitan dengan memberi lebih tumpuan kepada AI.

“Kami masih dalam proses mendapatkan maklum balas. Topik tersebut adalah penting dan kami perlu memastikan untuk berfikir dalam aspek yang tepat,” katanya pada sidang akhbar Beyond Paradigm Summit 2019 anjuran Serba Dinamik Holdings Berhad.

“AI merupakan topik baharu bagi Malaysia. Kita perlu faham dan kami akan berkongsi bagaimana untuk menyertainya tidak kira sama ada bagi pihak industri, kerajaan dan ahli akademik. Jadi, kami akan menggariskan perkara-perkara tersebut,” katanya. - BERNAMA