Syarikat telekomunikasi itu berkata, perolehan perkhidmatannya meningkat 0.6 peratus kepada RM1.89 bilion berbanding RM1.87 bilion dipacu oleh prestasi asas yang mantap.

Katanya, perolehan perkhidmatan secara keseluruhan termasuk segmen borong yang direkodkan pada suku tersebut berada pada paras RM1.92 bilion.

"Segmen pasca bayar terus menerajui pasaran dengan mencatatkan pertumbuhan konsisten dalam pelanggan dengan purata pendapatan setiap pelanggan (ARPU) bulanan yang tinggi sebanyak RM91.

"Tawaran Hotlink Postpaid Flex dan MaxisONE kami terus menarik minat pelanggan pasca bayar yang baharu serta mereka yang berpindah daripada prabayar ke pasca bayar.

"Ini menyumbang kepada pertumbuhan pelanggan yang meningkat sebanyak 96,000 menjadikan jumlah keseluruhan 3.1 juta pelanggan," katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia di sini hari ini.

Tambah Maxis, dengan jumlah asas yang lebih besar, penggunaan aplikasi MyMaxis yang kukuh pada 43 peratus dan penggunaan data bulanan 13.3GB, pendapatan pasca bayar, termasuk borong, kekal stabil pada RM972 juta, sedikit menurun daripada RM1 bilion pada suku pertama 2019.

Sementara itu segmen prabayar Maxis terus stabil dengan ARPU bulanan yang tinggi sebanyak RM41 dan pertumbuhan data yang kukuh.

Katanya, pelanggan prabayar merosot sedikit kepada 6.4 juta suku ini, sebahagian besarnya disebabkan oleh penyatuan SIM dan penghijrahan berterusan daripada prabayar ke pasca bayar.

"Walau bagaimanapun, pek Prabayar Hotlink Red terus menunjukkan daya tarikan positif, menarik pengguna internet mudah alih yang tinggi.

"ARPU bulanan yang tinggi, penggunaan aplikasi Hotlink RED yang kukuh sebanyak 59 peratus dan penggunaan data 13.7GB, membantu mengekalkan pendapatan pada tahap yang sama pada RM791 juta, sedikit menurun daripada RM797 juta pada suku pertama 2019," katanya. - UTUSAN ONLINE