Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, banyak contoh syarikat penerbangan dunia yang berjaya selepas membuat pelan pemulihan dengan bekerjasama dengan syarikat-syarikat lain yang mempunyai model perniagaan efektif.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak) memberitahu, China, India, Indonesia serta Afrika mempunyai potensi kerjasama yang baik dalam industri penerbangan selain kebolehpasaran yang tinggi.

“Cathay Pacific misalnya, syarikat itu merupakan milik United Kingdom (UK) tetapi bekerjasama dengan syarikat penerbangan dari Hong Kong. Akhirnya syarikat itu merupakan milik UK juga dan tidak dijual sepenuhnya. Ethiopian Airlines, dahulunya merupakan syarikat yang bermasalah. Namun, selepas menjalankan pelan pemulihan kini ia merupakan syarikat penerbangan terbaik di Afrika.

“Saya tidak melihat AirAsia mampu jadi rakan perniagaan yang baik kerana selama ini juga AirAsia banyak bergantung kepada MAS terutamanya dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat. Tiket penerbangan AirAsia juga bukan murah pada dasarnya tanpa mengambil kira caj akses bagasi, makanan dan lain-lain caj,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi pakar ekonomi yang bakal menyertai Putra Business School 1 April ini, Prof. Madya Dr. Abu Sofiyan Yaacob berkata, model perniagaan AirAsia dan MAS berbeza iaitu satu sebagai syarikat tambang murah dan satu lagi sebagai syarikat tambang premium.

Katanya, AirAsia pernah satu masa dulu menjalankan perikatan perniagaan dengan MAS, tetapi banyak laluan MAS diambil alih dan laluan MAS menjadi sedikit dan tidak produktif.

“Akan ada kehilangan pekerjaan dan juga hilang identiti MAS sebagai syarikat penerbangan negara jika AirAsia ambil alih. Kita hanya perlu tukar model perniagaan MAS dengan kaedah secara korporat sepenuhnya tanpa campur tangan kerajaan atau orang politik,” ujarnya.

Profesor Ka­nan di Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof. Dr. Shazali Abu Mansor pula tampil dengan pendapat berbeza iaitu katanya, dalam dunia perniagaan waktu ini, kemungkinan untuk AirAsia mengambil alih MAS tetap ada.

Katanya, ambil alih atau tidak oleh AirAsia tidak menjadi masalah, sebaliknya rakyat mahu melihat keuntungan yang dicapai.

“Pengalaman Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tony Fernandes telah terbukti boleh dimanfaatkan oleh MAS terutamanya dalam mengawal kos operasi. Ini adalah jalan terbaik jika dibandingkan hendak menutup MAS atau nak biarkan MAS terus rugi yang mana rakyat juga akan menanggung,” ujarnya.

-habis-