Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, R. M. Chandran berkata, para penumpang boleh memilih daripada 10 pilihan masakan yang disediakan termasuk Oriental, masakan India dan barat serta hidangan tempatan pada harga pra-pembelian RM10 manakala harga semasa penerbangan adalah RM15 bagi setiap hidangan.

Katanya, pelbagai pilihan makanan ringan turut diperkenalkan.

“Fleksibiliti untuk memilih hidangan memberi peluang kepada kami mengurangkan kos dan penjimatan itu dikembalikan semula kepada para pelanggan tanpa berkompromi aspek keselamatan.

“Menyediakan fleksibiliti dan penjimatan ini juga bermakna para penumpang akan terus menikmati ruang kelegaan kaki tambahan dan hiburan semasa penerbangan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Chandran, tempahan untuk prapembelian makanan ringan dan panas perlu dibuat dalam tempoh 24 jam sebelum berlepas.

Katanya, bagi penumpang yang tidak dapat berbuat demikian mereka masih boleh membeli makanan dan minuman semasa penerbangan.

“Mata wang yang diterima ketika membuat pembelian dalam pesawat adalah MYR, AUD, USD, INR, IDR dan RMB. Kami juga memperkenalkan Get Comfy Kit yang ditambah baik bermula 1 Oktober ini pada harga pra-pembelian RM25, penjimatan RM5 jika membeli semasa penerbangan.

“Get Comfy Kit terdiri daripada selimut, fon telinga stereo, bantal leher, penutup telinga dan mata,” ujarnya.

Penumpang juga boleh membuat prapembelian bagasi dan pemilihan tempat duduk secara dalam talian dalam tempoh sehingga empat jam sebelum berlepas manakala insurans perjalanan boleh dibeli dalam tempoh sehingga dua jam sebelum berlepas. - UTUSAN ONLINE