Naib Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM), Liew Sew Yee berkata, firma Malaysia boleh lebih giat menjalankan pengeluaran dan pengedaran ke dalam pasaran ASEAN mewakili syarikat asing daripada membenarkan perniagaan luar mengambil peluang atas kedudukan negara.

Beliau berkata, pasaran ASEAN dengan jumlah penduduk lebih 600 juta merupakan pasaran luas bagi Malaysia.

“Pelabuhan Kuantan yang menjadi pintu masuk perkhidmatan logistik bagi Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) juga berupaya berperanan sebagai pintu keluar produk Malaysia untuk diedarkan ke seluruh China.

“Kargo dari ASEAN boleh melalui pelabuhan ini dan menjalankan pengedaran semula ke pasaran lain,” katanya kepada pemberita selepas majlis jaringan perniagaan dengan delegasi perdagangan Mesir di sini hari ini.

Liew berkata, penyambungan semula projek ECRL adalah positif untuk hubungan dua hala Malaysia-China.

“Bagi ahli perniagaan penyambungan semula ECRL merupakan berita baik. Ia juga berita yang amat positif dari segi projek itu diteruskan oleh kontraktor China tersebut. Sekurang-kurangnya ini membantu mempertingkat hubungan Malaysia dengan China,” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini mengumumkan kos projek ECRL dikurangkan sebanyak 32.8 peratus kepada RM44 bilion daripada RM66 bilion dengan penjajaran semula sepanjang 640 kilometer.

Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) akan mewujudkan firma usaha sama 50:50 untuk menguruskan dan menyenggara laluan berkenaan.

Jajaran baharu itu bukan hanya tidak memerlukan pembinaan Terowong Genting sepanjang 17.8 kilometer dari Bentong, Pahang ke Gombak, Selangor malah menyediakan hubungan terus dari Pelabuhan Kuantan, Pahang ke Pelabuhan Klang, Selangor sebagai laluan darat antara dua pelabuhan tersebut. - BERNAMA