Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Datuk Seri Saw Choo Boon berkata, dalam masa sama terdapat kecenderungan beberapa negara di rantau Asia Pasifik termasuk Filipina, Thailand, Indonesia, Korea Selatan dan Taiwan yang turut menunjukkan minat untuk menyertai perjanjian tersebut.

Katanya, berdasarkan pengalaman me­nandatanga­ni Perjanjian Per­da­gangan Bebas (FTA) sebelum ini dan manfaat diperoleh dari segi pelaburan, Malaysia pasti menjadi lebih baik dengan adanya TPPA.

“Kami yakin dengan memperoleh kelebihan sebagai penggerak pertama dalam perjanjian ini akan membuahkan hasil yang positif. Ini kerana, dengan mengambil kira ketidaktentuan persekitaran perdagangan global terutama dalam pasaran eksport tradisional, bolehkah Malaysia bertahan tanpa FTA penting seperti TPPA dan kemudiannya Kesatuan Eropah (EU) dan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)?

“Tanpa TPPA, kita juga akan diketepikan berbanding tiga lagi negara ASEAN yang menyertai rundingan ini. Malah, penempatan semula bagi industri eksport ke Vietnam harus diambil kira,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Rundingan TPPA yang berjalan sejak lima tahun lalu membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam.

Negara TPPA menyumbang hampir 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia serta satu pertiga perdagangan global.

Baru-baru ini, Ketua Kluster Eko­nomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, pada waktu ini, kira-kira 70 peratus pasaran dagangan negara tertumpu di Asia, 12 peratus di Amerika Utara, 11 peratus di Eropah dan kira-kira tujuh peratus dari negara-negara lain.

Menurut Choo Boon, Malaysia perlu menjadi sebahagian daripada TPPA kerana ia menyediakan akses kepada pasaran bebas cukai menjangkau 800 juta penduduk dengan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah AS$27.5 trilion (RM120.41 trilion).

Jelasnya, Malaysia menikmati faedah daripada FTA yang telah ditandatangani dan terdapat bukti kukuh bahawa liberalisasi ekonomi seperti Chile, China dan Korea Selatan secara konsisten menunjukkan prestasi lebih baik dan setanding di peringkat pembangunan.

“Kami berharap kerajaan dapat mengambil langkah yang perlu untuk menyertai TPPA. Sebagai negara perdagangan ekonomi terbuka dan kompetitif, ia menjadikan kita lebih baik dan berdasarkan pengalaman itu, kita tidak sepatutnya berpatah balik hanya disebabkan kebimbangan tidak berasas sesetengah pihak.

“Ini kerana kami menyedari perdagangan Malaysia boleh berkembang dengan melangkaui sempadan. FTA seperti ini bukan sahaja menjana peluang perniagaan, tetapi memastikan pelaburan dan perdagangan dijalankan dengan telus dan akauntabiliti,” katanya.