Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ini kerana Malaysia terpaksa mengikut peraturan sedia ada yang ditetapkan negara-negara yang terlebih dahulu menyertai perjanjian tersebut.

Katanya, antara konsesi yang tidak diperoleh Malaysia sekiranya lambat menyertai rundingan tersebut, ialah hak bumiputera dan isu halal yang menjadi keutamaan kepada negara.

“Maknanya kita terpaksa bermula sekali lagi dan tiada jaminan untuk kita memperoleh keistimewaan dalam rundingan awal.

“Sebagai negara awal yang terlibat dalam TPPA, kita boleh memohon pengecualian untuk beberapa perkara penting terutama berkait dengan dasar dan perlembagaan bagi memelihara kedaulatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi penerangan mengenai TPPA anjuran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Majlis Profesor Negara di sini hari ini. Yang turut hadir, Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali.

Rundingan TPPA yang berjalan sejak lima tahun lalu membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat (AS) dan Vietnam.

Negara TPPA menyumbang hampir 40 peratus keluaran dalam negara kasar dunia serta satu pertiga perdagangan global.

Kerajaan kini sedang giat membuat penerangan di seluruh negara sebelum dokumen TPPA dibentang dan dibahaskan di Dewan Rakyat pada 26 dan 27 Januari ini, sebelum diteruskan di Dewan Negara pada 28 Januari.

Menurut Mustapa, ringkasan kandungan TPPA versi Bahasa Melayu akan diedarkan dalam tempoh seminggu lagi bagi meningkatkan pemahaman rakyat.

Sementara itu, beliau menjelaskan, Malaysia tidak akan bankrap sekiranya menarik diri daripada perjanjian tersebut sekali gus menolak dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir.

“Bagaimanapun, Malaysia boleh berhadapan dengan kes saman jika melanggar peruntukan-peruntukan yang telah ditetapkan di bawah perjanjian ini sekiranya menandatangani TPPA,” katanya.

Menurut beliau, TPPA bukan penyelesaian untuk merapatkan jurang pendapatan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) kerana yang paling penting ialah dasar kerajaan dalam membela nasib mereka.

“Secara dasarnya, TPPA boleh membantu golongan B40 memandangkan ia turut merangkumi isu ketidaksamaan pendapatan rakyat,” katanya.