Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam kenyataannya berkata, industri minyak sawit di Malaysia komited dalam menghasilkan minyak sawit selaras dengan skim pensijilan MSPO yang akan dilaksanakan secara mandatori menjelang 31 Disember 2019.

Katanya, Malaysia komited sepenuhnya untuk berunding secara konstruktif bagi memastikan layanan tanpa diskriminasi ke atas produk minyak sawit dan mengelakkan sekatan untuk akses pasaran produk sawit ke EU.

“Malaysia telah berulang kali menyuarakan kebimbangannya dalam platform Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sejak 2018 dan usaha ini akan dilaksanakan secara berterusan.

“Kebimbangan Malaysia juga turut disokong oleh negara pengeluar minyak sawit utama seperti Indonesia, Colombia, Guatemala, Honduras dan Ecuador,” katanya di sini hari ini.

Tambah kementerian itu, pihaknya juga akan terus bekerjasama dengan Kementerian Industri Utama (MPI) untuk memanfaatkan sepenuhnya dan menggunakan pelbagai platform WTO dan antarabangsa demi kepentingan pengeksport minyak sawit dan pekebun kecil.

“Malaysia juga akan mempertimbangkan isu ini untuk dibawa ke mekanisme penyelesaian pertikaian di bawah WTO pada masa depan.

“Selain itu, kerajaan juga akan terus mengkaji inisiatif bagi meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam biodiesel di pasaran domestik sebagai alternatif sekiranya eksport minyak sawit ke pasaran EU terjejas akibat pelaksanaan EU RED II,” jelasnya.

Bagi sektor pengangkutan, Malaysia telah melaksanakan program biodiesel B10 sejak Februari 2019.

MITI dan MPI bekerjasama ke arah melaksanakan cadangan penggunaan biodiesel B20 pada 2020 dan B30 pada 2025 atau lebih awal.

Menurut MITI, Malaysia sekali lagi menyuarakan kebimbangannya terhadap sekatan penggunaan minyak dalam bahan api bio oleh Suruhanjaya Eropah dalam mesyuarat-mesyuarat WTO yang diadakan pada Mei hingga Jun 2019.

Mesyuarat tersebut disertai Jawatankuasa Perdagangan dalam Alam Sekitar pada 5 Mei, Jawatankuasa Halangan Teknikal Kepada Perdagangan pada 20 hingga 21 Jun dan Mesyuarat Majlis Perdagangan Barangan pada 8 hingga 9 Julai.

Akta Perwakilan bagi pelaksanaan EU RED II untuk tahun 2021-2030 akan mengenakan syarat ketat terhadap penggunaan tanaman sebagai bahan api bio yang mana tanaman tersebut menyumbang kepada perluasan tanah ke kawasan hutan hujan, tanah lembap dan tanah gambut.

Ini ditafsirkan sebagai perubahan guna tanah secara tidak langsung (ILUC) yang mana tanaman yang dikategorikan sebagai mempunyai ‘risiko ILUC yang tinggi’ akan dihadkan menjelang tahun 2030.

Minyak sawit dikategorikan sebagai mempunyai ‘risiko ILUC yang tinggi’ dalam Akta Perwakilan itu dan ini merupakan satu bentuk langkah halangan perdagangan kepada minyak sawit. - BERNAMA