KUALA LUMPUR 2 Nov. - Inisiatif Revolusi Industri 4.0 terus mendapat perhatian apabila kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah untuk memperkasakan teknologi termasuk dana-dana baharu bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi utama pelaburan industri berteknologi tinggi.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar berkata, langkah kerajaan untuk memperkukuhkan Revolusi Industri 4.0 melalui Dana Berimpak Tinggi membantu memacu kepintaran buatan (AI) dan digitalisasi.
Kata beliau, dua bidang penting itu yang berpotensi besar terutama kepada sektor perkhidmatan kewangan.
“Kedua-dua bidang berkenaan harus dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk berinovasi dan meningkatkan pengalaman pelanggan, mengurangkan kos, memperkukuhkan keselamatan dan mengelakkan penipuan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kerajaan dalam pembentangan Belanjawan 2019 menyediakan Dana Transformasi Pendigitalan Industri sebanyak RM3 bilion bagi merancakkan industri dengan menerapkan teknologi pintar merangkumi penggunaan robot dan AI.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui Dana Berimpak Tinggi akan terus menyediakan geran padanan untuk menggalakkan inisiatif Industri 4.0 seperti pembangunan dan penyelidikan (R&D), penerimaan sijil dan piawaian antarabangsa serta pemodenan kemudahan dan peralatan dengan teknologi terkini.
Sementara itu, Pengarah Urusan Trend Micro Malaysia, Goh Chee Hoh berkata, peruntukan yang diberikan bagi menyokong pertumbuhan Industri 4.0 berkaitan teknologi membawa kepada peningkatan produktiviti dan daya saing perniagaan di Malaysia.
Menurutnya, dalam usaha melaksanakan transformasi digital keselamatan siber merupakan komponen penting yang membolehkan inovasi dilakukan.
“Selain daripada risiko biasa dalam perniagaan mereka perlu mengelakkan ancaman siber yang menyasarkan infrastruktur penting. Kami menggesa pemain industri untuk melihat keselamatan siber sebagai nilai yang berpotensi potensi melalui digitalisasi,” katanya.
Dalam pada itu, Pengurus Negara Malaysia dan Brunei NetApp, Azrin Abd. Shukor berkata, pengenalan Dana Transformasi Pendigitalan Industri dan Dana Berimpak Tinggi sebagai tepat pada masanya untuk penggunaan analitik data besar, AI dan pembelajaran mesin berkembang dengan meluas dalam ekosistem perniagaan di Malaysia.