Kementerian Kewangan berkata, dengan saiz terbitan berjumlah 200 bilion yen, ia merupakan terbitan bon kerajaan jaminan JBIC terbesar dalam pasaran Jepun.

“Kementerian Kewangan ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Jepun dan duta besar Jepun ke Malaysia yang telah memudahkan dan menjayakan penerbitan Bon Samurai ini.

“Sebagai sebuah aturan kerajaan ke kerajaan (G2G), penerbitan bon ini dijamin oleh JBIC melalui program Guarantee and Acquisition toward Tokyo Market Enhancement (GATE).

“Ini adalah jaminan JBIC yang pertama diambil Malaysia dan ia adalah sebahagian daripada usaha Perdana Menteri kedua-dua negara iaitu Tun Dr. Mahathir Mohammad dan Shinzo Abe bagi menge­ratkan lagi hubungan ekonomi dan budaya antara Malaysia dan Jepun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah kenyataan itu, hasil kutipan daripada terbitan Bon Samurai itu akan digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan yang antara lain meliputi pembinaan sekolah, hospital, jalan raya dan infrastruktur utiliti.

Katanya, proses penerbitan terbitan Bon Samurai tersebut dimulai dengan siri jelajah dua hari di Tokyo, Jepun pada 7 dan 8 Februari 2019 yang diketuai oleh Menteri Kewa­ngan, Lim Guan Eng.

“Ia diikuti dengan sesi Pemasaran Rasmi pada 4 hingga 7 Mac 2019. Sewaktu proses pemasaran dijalankan, para pelabur menunjukkan minat yang mendalam terhadap penerbitan ini dan ia mencerminkan tahap keyakinan mereka terhadap ekonomi, tadbir urus dan pembaharuan struktur Malaysia,” jelasnya.

Kementerian Kewangan berkata, terbitan bon berke­naan menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada pelbagai institusi dan pelabur-pelabur Jepun yang berkualiti.

“Pelabur-pelabur tersebut adalah bank-bank khusus (37.9 peratus), bank-bank bandar (35 peratus), syarikat-syarikat insurans nyawa (13.9 peratus), bank-bank wilayah (6.5 peratus), bank-bank shinkin (3.8 peratus) dan lain-lain (2.9 peratus),” katanya.

Jelasnya, peluang yang ditawarkan oleh kerajaan Jepun kepada Malaysia untuk memasuki pasaran Bon Samurai meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai satu daripada destinasi pelaburan terkemuka di rantau ini, di samping mempelbagaikan asas pembia­yaan kerajaan Malaysia.

Mizuho Bank, HSBC Malaysia dan Daiwa Securities de­ngan kerjasama Affin Hwang Investment Bank merupakan pengatur utama bersama bagi terbitan tersebut.