Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Mokhzani berkata, MAB adalah syarikat penerbangan kebanggaan Malaysia dan menawarkan perkhidmatan yang baik.

Sehubungan itu, beliau menzahirkan keyakinan bahawa adalah logik terdapat ba­nyak pihak yang berminat untuk melabur di dalam MAB mengambil kira sejarah yang panjang dan tahap perkhidmatan hebat.

“Selain itu, MAB juga mempunyai destinasi laluan yang menarik, bagaimanapun saya tidak mengetahui secara lanjut tentang prestasi kewa­ngannya dan keuntungan pada masa hadapan.

“Bagi MIDF, sektor pe­nerbangan adalah antara segmen yang sedang difikirkan dari segi peluang pelaburan,” katanya kepada pemberita sempena Persida­ngan Hijau MIDF di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan pemberita yang bertanya sama ada MIDF mengetahui pihak-pihak tertentu yang dikatakan ingin membeli MAB.

Dalam perkembangan lain, MIDF masih lagi berbincang tentang cada­ngan penggabungan de­ngan Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Bhd.

Beliau berkata, sesi run­dingan sedang berjalan dan ia mengambil masa sebelum kedua-dua pihak mencapai kata putus.

“Mereka perlu mengkaji akaun kami begitu juga MIDF meneliti akaun Al Rajhi, saya percaya satu persetujuan yang baik akan dicapai,” kata­nya.

Pada awal Januari lalu, MIDF telah mendapat kelulusan Bank Negara Ma­laysia (BNM) untuk mene­ruskan perbincangan berhu­bung ca­da­ngan penggabungan de­ngan Al Rajhi.