Pengarah Negara Jobstreet.com Malaysia, Gan Bock Herm berkata, Kajian Prospek Pekerjaan 2019 yang dijalankan platform pencari­an pekerjaan dalam talian itu mendapati sebanyak 43 peratus majikan sudah memulakan langkah ke arah transformasi digital.

Katanya, mereka juga berusaha meningkatkan jumlah kumpulan bakat khususnya dalam bidang teknologi maklumat (IT), pengkomputeran, pemasaran digital dan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

GAN BOCK HERM
GAN BOCK HERM 

“Mencari kemahiran yang betul kini menjadi keutamaan. Transformasi digital tidak dapat dielakkan akibat globalisasi dan syarikat perlu memulakan perjalanan transformasi digital mereka.

“Ketika ini, terdapat jumlah bakat yang terhad di luar sana, jadi majikan perlu lebih proaktif mencari calon yang berpotensi,” katanya pada sesi taklimat Prospek Pekerjaan 2019 Jobstreet.com di sini hari ini.

Kaji selidik itu juga mendapati lima kemahiran utama berkaitan digital yang paling dikehendaki majikan adalah pemasaran digital, pembangunan perisian dan aplikasi, e-perdagangan, data besar dan analitik serta kemahiran pangkalan data.

Sementara itu, Bock Herm berkata, lima ciri utama yang dinilai majikan adalah kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran berkomunikasi, keupayaan bekerja secara berdikari, bersedia untuk belajar dan kemampuan bekerja di bawah tekanan.

Ujarnya, kaji selidik itu juga mendapati 60 peratus majikan melaporkan mereka telah me­laksanakan beberapa inisiatif atau projek transformasi digital dengan baki majikan dalam kaji selidik itu kini di pelbagai pe­ringkat perancangan dan sudah memulakan projek mereka.

“Organisasi perlu meningkatkan keupayaan inovasi dan teknologi mereka untuk faedah pertumbuhan dan mereka memerlukan bakat berkemahiran untuk menyokong perkembangan peniagaan,” katanya.