MAEI ialah jawatankuasa kecil industri Dewan Perniagaan Amerika Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, MAEI berkata, anggotanya melihat penyertaan Malaysia dalam TPPA sangat penting kepada industri elektrik dan elektronik (E&E) dalam meningkatkan daya saing, penguasaan pasaran eksport dan mewujudkan ekosistem industri yang lebih cergas.

“Penyertaan eksport E&E Malaysia dijangkakan meningkat dalam pasaran pemerolehan kerajaan AS selian hasil pengurangan atau pemansuhan barisan tarif di tujuh negara anggota TPPA - Australia, Kanada, Mexico, New Zealand, Peru, AS dan Vietnam.

“Eksport E&E Malaysia ke AS dijangkakan menjadi penerima manfaat terbesar barisan tarif yang lebih rendah memandangkan Malaysia merupakan destinasi eksport E&E ketiga terbesar AS,” katanya.

MAEI berkata, menurut analisis PricewaterhouseCoopers, ini akan menyumbang penjimatan tarif RM158.2 juta pada 2014.

Ia juga yakin pelaksanaan hak Pertubuhan Buruh Antarabangsa apabila Malaysia menyertai TPPA akan meningkatkan persepsi awam mengenai hak buruh dalam industri E&E tempatan.

Pengerusi MAEI, Datuk Wong Siew Hai berkata, menerusi TPPA, perlindungan rahsia perdagangan akan diperkukuh dan amalan buruh tahap tinggi akan dilaksanakan oleh syarikat di Malaysia.

“Ini akan meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai lokasi pilihan pelaburan dan pada masa yang sama menarik operasi pengeluaran teknologi tahap tinggi dan bernilai tinggi selain penyelidikan dan pembangunan.

“Ini seterusnya akan mewujudkan pekerjaan bergaji lebih tinggi dan permintaan tinggi untuk tenaga kerja berpengetahuan.

“Jika Malaysia tidak menyertai TPPA, berkemungkinan besar pelaburan di negara ini akan berkurangan dengan pelabur beralih ke Vietnam,” katanya. – BERNAMA