Perolehan, bagaimanapun meningkat kepada RM46.53 juta daripada RM34.45 juta berikutan pendapatan lebih baik dicatatkan dalam perniagaan huluan dan hiliran membolehkan kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai yang digabungkan sebanyak RM15.3 juta daripada kerugian sebelum cukai sebanyak RM27.2 juta sebelumnya.

Bagi tempoh 15 bulan sehingga setakat ini (PTD), kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM53.83 juta daripada perolehan sebanyak RM216.55 juta.

M&G telah mengubah tahun kewangannya daripada 31 Disember kepada 30 April dengan tahun kewangan 2019 meliputi tempoh 16 bulan, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Aktiviti huluan kumpulan itu mencatatkan perolehan RM167 juta selaras dengan kadar penggunaan 62 peratus yang dicatatkan dalam 15 bulan PTD.

Sementara itu, aktiviti hiliran M&G mencatatkan perolehan RM49.6 juta berikutan kadar penggunaan lebih tinggi pada 91.8 peratus.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Mohd. Azlan Hashim berkata, penggunaan Kadar Sewa Harian (DCR) kapal kumpulan itu bagi 2018 meningkat sedikit kepada lebih 60 peratus dan dijangka terus berkembang.

Sepanjang 2018 sehingga kini, anak syarikat M&G, Jasa Merin (M) Bhd. (JMM) diberikan lapan kontrak jangka panjang bagi tempoh tiga tahun dan dua kontrak dilanjutkan bagi tempoh satu tahun untuk menyediakan 10 kapal.

“JMM meneruskan usaha untuk memperoleh sewaan tambahan untuk meningkatkan penggunaannya.

“Namun, lembaga kekal berhati-hati dengan prospek untuk bahagian ini berikutan kadar sewaan kurang memberangsangkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, permintaan bagi Marine Logistics kumpulan, kapal pengangkut cecair pukal Bahagian Hiliran agak memberangsangkan dipacu permintaan terhadap produk petroleum bersih.

“Berdasarkan permintaan memberangsangkan terhadap kapal pengangkut cecair pukal, tambahan tiga lagi kapal dalam armadanya, dibiayai menerusi dana dalaman, dijangka menyumbang secara positif terhadap bahagian itu di masa depan,” katanya. - BERNAMA