MoU itu membolehkan kakitangan sektor awam memohon pembiayaan daripada LPPSA serta Bank Islam atau BSN yang bersetuju menjadi pemegang gadaian kedua bagi menyelesaikan wang beza.

Ia juga satu inisiatif positif melibatkan kerjasama sektor awam dan swasta bagi merealisasikan hasrat kerajaan untuk memastikan setiap kakitangan awam memiliki rumah kediaman.

LPPSA diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Kamal Mohd. Ali manakala Bank Islam diwakili CEO, Mohd. Muazzam Mohamed dan BSN, Ketua Eksekutif, Datuk Yunos Abd. Ghani.

MoU itu disaksikan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi LPPSA, Datuk Ahmad Badri Mohd. Zahir.

Pada majlis itu, Amiruddin turut melancarkan Sistem Pengurusan Pembiayaan (LMS) yang dibangunkan bagi memudahkan pelanggan LPPSA terdiri daripada kakitangan sektor awam di seluruh negara membuat permohonan pembiayaan perumahan secara dalam talian dengan lebih mudah dan efektif.

LMS yang mula beroperasi pada 1 April lalu, memudahkan para pelanggan membuat permohonan, menyemak maklumat pembiayaan seperti memuat turun penyata tahunan, semakan status baki, bayaran pembiayaan dan beberapa perkhidmatan lain.

Amiruddin dalam ucapannya berkata, inisiatif LPPSA itu dapat membantu penjawat awam memiliki kediaman.

Pada masa sama katanya, inisiatif itu bukan alasan bagi pembiayaan rumah-rumah yang harganya di luar kemampuan penjawat awam.

Justeru beliau berharap, lebih banyak rumah mampu milik disediakan di tempat yang lebih strategik.

“Pada masa sama, penjawat awam perlu mempunyai pengurusan kewangan yang baik kerana ia penting bagi memastikan pembayaran semula pembiayaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE