Lokatech dan Efkon dalam kenyataan bersama berkata, LokaTAG menawarkan ­alternatif kepada penggunaan MaxTAG mudah alih yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu.

Katanya, alat berkenaan direka supaya dapat disepadukan dengan kenderaan pengguna bersama sambungan terus kepada bateri kenderaan.

“Bagi setiap pembelian LokaTAG dari gedung rasmi dalam talian, pembeli di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor akan menikmati pemasangan percuma di lokasi mereka selain pelan bayaran mudah hanya dengan tambahan RM1.

“Pelanggan di luar kawasan tersebut pula boleh memasang LokaTAG mereka secara percuma dengan pengedar berdaftar yang terpilih,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Alat tersebut sesuai untuk semua jenis kenderaan dan ia menampilkan paparan dengan pencahayaan belakang yang tahan lama bagi memaparkan amaran ralat atau kekurangan kredit.

Sementara itu, Pengarah Efkon Asia Sdn. Bhd., Helmuth Blasch berkata, jualan MaxTAG begitu laris sejak diperkenalkan pada tahun lepas serta pesanannya yang kian meningkat menunjukkan sistem inframerah tetap menjadi pilihan pengguna lebuh raya kerana telah terbukti dari segi kebolehpercayaan dan kecekapannya.

“Sambutan pasaran terhadap peranti MaxTAG mudah alih cukup menggalakkan yang mana purata jualan bulanan mencecah 12,000 unit. Bagi peranti pembaca tol terbina dalam pula terdapat lima jenama kereta terkemuka yang menggunakan produk kami.

“Beberapa jenama lain akan turut serta tidak lama lagi. Kini purata jualan bulanan untuk kedua-dua jenis peranti mudah alih dan terbina dalam berjumlah 25,000 unit,” ujarnya.