Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataannya berkata, dengan bermulanya operasi tersebut ia menambah 1,000 megawatt (MW) lagi kepada penjanaan kuasa sedia ada sebanyak 22,748 MW di Semenanjung Malaysia.

Menurut syarikat tenaga itu, JEP membina dua bangunan loji kuasa arang batu 1,000 MW ultra-supercritical (USC) di Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Dua bangunan ini merupakan loji cekap tenaga arang batu yang ketiga dan keempat TNB. Loji kedua JEP kini berada di landasan tepat untuk memulakan operasi pada Disember tahun ini.

"Kedua-dua loji terletak di lokasi yang strategik dan sangat penting untuk menjamin bekalan tenaga di Semenanjung Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

TNB berkata, selain daripada projek JEP, pihaknya mempunyai dua lagi loji arang batu USC di Manjung 4 dan Manjung 5 di Lumut, Perak.

"Kedua-duanya merupakan antara loji USC pertama di ASEAN," katanya.

Teknologi USC adalah teknologi pembakaran arang batu dengan kecekapan 40 peratus berbanding loji arang batu konvensional yang hanya memiliki kecekapan 36 peratus.

TNB mempunyai 70 peratus kepentingan dalam JEP sementara bakinya dimiliki oleh Mitsui & Co. Ltd. dan The Chugoku Electric Power Co. Ltd., masing-masing dengan 15 peratus kepentingan. - UTUSAN ONLINE