Walaupun hari ini merupakan hari bekerja, namun orang ramai tetap berpusu-pusu menyerbu gedung perabot tersebut yang dibuka secara rasmi pukul 10 pagi tadi.

Malah, pengunjung juga dilihat sanggup beratur panjang dan mahu menjadi antara orang yang terawal menjejakkan kaki mereka ke gedung itu yang mempunyai 49 ruang pameran serta dilengkapi lebih 8,000 kelengkapan rumah.

Selain itu, kesesakan lalu lintas turut berlaku sepanjang lebih dua kilometer dari pintu masuk ke gedung perabot tersebut apabila orang ramai sudah mula tiba sejak pukul 8 pagi.

Pengurus Stor IKEA Batu Kawan, A.Pathmalingam berkata, IKEA Batu Kawan dijangka menarik lebih 1.6 juta pelanggan dalam tempoh lima bulan selepas pembukaannya hari ini.

“Jumlah jualan pula dijangka sekitar RM80 juta hingga RM85 juta dalam tempoh lima bulan ini sehingga Ogos.

“Penduduk di negeri ini dan kawasan Utara sudah lama mengidamkan gedung IKEA mereka sendiri dan hari ini impian mereka menjadi kenyataan,” katanya selepas menghadiri majlis pembukaan rasmi gedung IKEA Batu Kawan di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Yang turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Pengarah Urusan IKEA Asia Tenggara, Christian Rojkjaer.

Bagi memastikan kelancaran pelanggan, IKEA Batu Kawan yang merupakan gedung keempat di negara ini turut dilengkapi 1,955 tempat parkir kenderaan selain kemudahan bas ulang-alik percuma antara Design Village yang disediakan dari pukul 11 pagi hingga 9 malam setiap hari.

Menurut Pathmalingam, pasukan yang terdiri daripada 300 rakan sekerja IKEA kini bersedia merealisasikan visi untuk mencipta kehidupan harian yang lebih baik kepada orang ramai. - UTUSAN ONLINE