Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, sejak pelancaran Perodua Myvi generasi ketiga pada November 2017, lebih daripada 100,000 buah telah diserahkan kepada pelanggan yang dihargai.

Katanya, ia bersamaan de­ngan purata lebih daripada 1,560 buah seminggu.

“Maklum balas pelanggan amat positif secara keseluruhan dan ciri-ciri Myvi yang pa­ling disukai mereka termasuk reka bentuk bergaya, praktikal, mudah dipandu, kos pemilikan dan penyelenggaraan yang rendah, ruang yang luas walaupun saiznya kompak dan ciri-ciri canggih yang biasanya hanya terdapat pada kenderaan mewah.

“Perodua Myvi merupakan model yang paling berjaya dalam sejarah kami. Myvi gene­rasi pertama diperkenalkan pada 2005 ke dalam pasaran Malaysia yang pada ketika itu didominasi oleh kenderaan sedan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menjelang 2013, menurut Zahari, Myvi mengatasi jualan keseluruhan kenderaan Kancil (708,000 buah dari 1994 hingga 2009) dan setakat ini, Perodua telah menjual hampir 1.1 juta Myvi secara keseluruhannya.

Tempahan untuk Myvi gene­rasi ketiga telah mencecah 150,000 dan Perodua akan terus bekerja keras untuk memenuhi pesanan itu dalam tempoh masa sewajarnya.

Beliau berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana memilih Myvi dan ini secara tidak langsung memberi galakan dan motivasi untuk syarikat terus melakukan penambahbaikan.

“Ini membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada anda. Di Perodua, kami tidak pernah lupa bahawa kami adalah syarikat yang mengutamakan insan (People First).

“Perodua menutup tirai 2018 dengan rekod jualan 227,243 kenderaan, menjadikan ia syarikat pengeluar kenderaan terkemuka Malaysia selama 13 tahun berturut-turut. Perodua telah menjual hampir 3.5 juta kenderaan sejak 1994,” katanya.