Ketua Pegawai Perniagaannya, Kevin Lee berkata, Lazada Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan berhubung perkara tersebut.

“Saya rasa kerajaan telah mengambil banyak langkah ke arah hala tuju yang betul dan ini menjadi tanggungjawab kami sebagai peneraju e-dagang di negara ini dan di Asia Tenggara untuk bukan sahaja hanya menjual tetapi juga memacu perubahan disebalik pemikiran dan dasar itu.

“Kami gembira berada di barisan hadapan dan bekerjasama rapat dengan banyak agensi kerajaan,” katanya ketika ditanya tentang kesediaan Lazada untuk berdepan cukai baharu itu.

Di bawah cadangan pindaan Akta Cukai Perkhidmatan 2018, mana-mana orang di luar Malaysia yang mengendalikan platform dalam talian bagi membeli dan menjual barangan atau menyediakan perkhidmatan (sama ada orang itu menyediakan sebarang perkhidmatan digital atau tidak) seperti Lazada, akan dikenakan cukai digital.

Cukai itu juga akan dikenakan ke atas pelbagai perkhidmatan dalam talian termasuk perisian, muzik, video dan pengiklanan digital yang ditawarkan oleh Spotify, Netflix Inc dan Amazon.com Inc.

Pada April lepas, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah berkata penyedia perkhidmatan digital asing yang berdaftar diminta mendaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memudahkan kutipan cukai perkhidmatan enam peratus bermula 1 Jan, 2020.

Bagi Belanjawan 2020, Lee berkata, Lazada Malaysia berharap kerajaan akan memberikan lebih banyak sokongan kepada perniagaan dalam platfrom e-dagang.

“Saya rasa kami sering meminta lebih banyak sokongan bagi ekosistem itu, bagi penjual,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Senheng Malaysia bagi melantik Lazada Malaysia sebagai rakan e-dagang eksklusif untuk peruncit elektrik.

Di bawah MoU itu, perniagaan luar talian Senheng dan perniagaan atas taliannya akan disepadukan menerusi penyelesaian teknologi super e-Business Lazada.

Perkongsian itu juga seiring dengan komitmen Lazada untuk menyokong perniagaan Malaysia dan mengembangkan ekonomi digital tempatan, menjelang kempen 9.9 Big Discovery Sale.

Lee berkata Lazada menjangkakan pertumbuhan jualan yang ketara semasa kempen jualan mega itu.

"Tema Discovery itu juga diperluaskan di luar talian ke 20 kedai Senheng yang terpilih di Lembah Klang,” katanya.v- BERNAMA