Presiden Bersama Lazada Group, Jing Yin berkata, jualan rentas sempadan di platform berkenaan telah meningkat empat kali ganda sepanjang tiga tahun lalu dan kini telah tiba masanya bagi Lazada untuk membawa masuk jenama-jenama antarabangsa yang berkualiti.

Katanya, pihak Lazada juga telah mengenal pasti 300 jenama terbaik daripada negara-negara yang memiliki operasi Lazada iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam untuk diketengahkan di platform berkenaan.

“Ini akan membolehkan jenama-jenama yang dipilih mengembangkan perniagaan mereka dan menikmati faedah-faedah seperti pendedahan jenama lebih tinggi terhadap produk-produk mereka apabila pengguna mencari dan melayari Lazada.

“Kami ingin menjadi penghubung di antara peniaga rentas sempadan yang berkualiti dan kira-kira 560 juta pengguna di Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. -UTUSAN ONLINE