Ditubuhkan pada 2014, Hauslife ialah pemegang lesen tunggal dan pengendali Ashley Furniture HomeStore di Semenanjung Malaysia.

Ashley Furniture yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) adalah antara pengeluar perabot rumah terbesar dunia.

Hauslife ketika ini mempunyai empat cawangan iaitu tiga di Lembah Klang dan satu di Pulau Pinang dan kini sedang dalam perbincangan untuk membuka satu lagi cawangan di Johor Bahru yang akan dibuka menjelang akhir tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Yu Kong Cing kepada pemberita selepas pembukaan kedai utama terbesar Ashley Furniture HomeStore di Malaysia di Quill City Mall di sini hari ini.

“Walaupun sentimen pasaran dikatakan lemah, kami mengambil cabaran ini dan melihatnya dalam perspektif yang berbeza dengan memanfaatkan Ashley sebagai sebuah jenama mantap dan beroperasi di kebanyakan negara,” katanya.

Kong Cing berkata, integrasi Hauslife terhadap peruncitan dan projek-projek, termasuk ruang kediaman, komersial, pejabat hotel dan ruang resort berfungsi dengan baik kerana ia menyokong pelbagai keperluan untuk pelanggan.

“Selain menawarkan jenama Ashley, kami juga boleh membuat reka bentuk dan bahan direka khas yang ditempah pelanggan untuk projek masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden bagi Jualan Antarabangsa (Asia) Ashley Furniture Industries Inc., Robin Lim berkata, pembukaan kedai utama adalah bukti bahawa syarikat itu yakin terhadap ekonomi Malaysia, terutama pasaran perabot runcit.

“Dengan lebih daripada 900 HomeStores di 155 negara, kami percaya terdapat banyak ruang untuk mengembangkan kedudukannya terutama di rantau Asia Pasifik yang berkembang pesat,” katanya.

Kedai utama berukuran 1,300 meter persegi termasuk koleksi gaya hidup Ashley terdiri daripada perabot reka bentuk hidup kontemporari, vintaj dan bandar Amerika dan Eropah.

Kategori produk termasuk set upholsteri, set bilik tidur, ruang makan, pejabat rumah, kerusi rehat, tilam dan aksesori.

Ashley Furniture Homestore ditubuhkan 74 tahun yang lalu pada 1945 di Chicago, AS dan merupakan pengeluar perabot terbesar di Amerika Utara. - BERNAMA