Penganalisis Kanan MIDF Research, Martin Foo Chuan Loong berkata, persaingan antara syarikat-syarikat telekomunikasi akan kembali rancak.

“Sekiranya penggabungan ini menjadi kenyataan, maka pengguna Malaysia akan kehilangan satu pembekal penyedia per­khidmatan mudah alih untuk dipilih,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Digi.Com Berhad (Digi) dan Axiata dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia mengesahkan perbincangan penggabu­ngan antara kedua-dua syarikat telah dibatalkan susulan beberapa kerumitan membabitkan gabungan bukan tunai aset telekomunikasi dan infrastruktur di Asia.

Telenor memiliki 49 peratus kepentingan dalam Digi.

Tambah Chuan Loong, kegagalan mencapai kata putus berhubung cadangan transaksi itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana ia melibatkan dua faktor utama iaitu kepentingan negara dan kakitangan.

“Jika kedua-dua faktor berke­naan menemui jalan penyelesaian, penggabungan tersebut dijangka berhadapan dengan isu pengawalseliaan. Kami difahamkan bahawa sebahagian besar perundingan mengenai terma komersial telah dipersetujui antara kedua-dua belah pihak.

“Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan kebimbangan terhadap isu pemberhentian pekerja sekiranya penggabungan itu berjalan. Kegusaran beliau ada asasnya kerana penggabungan Celcom dan Digi secara tidak langsung akan menyebabkan banyak pertindihan pekerjaan,” katanya.

Chuan Loong berkata, pihaknya telah mengambil pendirian awal yang lebih konservatif mengenai penggabungan tersebut memandangkan kerumitan transaksi yang melibatkan 14 entiti di sembilan negara.

Pada penutupan dagangan petang, saham Axiata menokok 11 sen kepada RM4.88 sesaham sementara saham Digi susut satu sen kepada RM4.89 sesaham.