Tanpa menamakan individu berkenaan, Lim berkata beliau telah mencadangkan nama seorang wanita untuk menjadi pengerusi sebuah lagi bank yang berwibawa di Malaysia.

"Jika tiada aral melintang, pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat," kata Lim ketika berucap pada sesi Kumpulan Fokus Belanjawan 2020: Meningkatkan Perlindungan Sosial Bagi Golongan Yang Memerlukan di sini, hari ini.

Turut hadir pada sesi yang berlangsung di Kementerian Kewangan itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Kini, terdapat tiga wanita yang mempengerusikan bank di Malaysia iaitu Maybank, Bank Rakyat dan Bank Pembangunan Malaysia Bhd.

Datuk Mohaiyani Shamsudin dilantik sebagai Pengerusi Maybank pada 1 Apr 2017, adalah wanita pertama dilantik sebagai pengerusi di bank terkemuka itu.

Datuk Noripah Kamso pula dilantik sebagai Pengerusi Bank Rakyat pada 6 Dis 2018 dan Datuk Zaiton Mohd Hassan dilantik sebagai Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd pada 18 Feb 2019.

"Ini adalah peningkatan penglibatan wanita di tahap profesional yang tertinggi," kata Guan Eng.

Guan Eng berkata, kerajaan akan terus berusaha untuk membantu meningkatkan peranan wanita yang berkebolehan tinggi dalam bidang perbankan dan dalam bidang lain. - BERNAMA