Pengarah Urusan Kumpulan Perdana, Laili Ismail berkata, R&R tersebut dibina di dua laluan iaitu Kota Bharu -Kuala Lumpur dan Kota Bharu - Utara yang mempunyai banyak kemudahan dan keselesaan bagi penumpang bas serta orang ramai.

Katanya, pembinaan R&R di laluan Kota Bharu -Kuala Lumpur melibatkan kos sebanyak RM7 juta kini sedang dibina manakala laluan Kota Bharu - Utara di Grik melibatkan kos melebihi RM3 juta.

“R&R ini disediakan khas untuk penumpang bas Ekspres Perdana yang dianggarkan lebih 1 juta setahun serta pengguna lebuh raya lain.

“Kawasan ini dilengkapi pelbagai kemudahan diantaranya tandas, gerai makan, taman permainan kanak-kanak, stesen minyak, surau bagi umat Islam, mesin ATM, wakaf (pondok rehat) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Iftar Perdana yang dihadiri lebih 500 orang jemputan melibatkan rakan strategik, penduduk sekitar, pelajar tahfiz, anak yatim dan asnaf.

Dalam perkembangan lain, Laili berkata, bagi jualan tiket bas sempena Hari Raya Aidilfitri kini dibuka kepada orang ramai dan boleh dibeli secara online serta di kaunter tiket.

Katanya, purata jualan tiket tiga hari sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri mencecah lebih 20,000 keping dengan kutipan lebih RM1 juta denga melibatkan 96 buah bas yang beroperasi.

“Namun berita gembira untuk orang ramai di mana harga tiket akan dikurangkan sebanyak 10 peratus daripada harga RM45.

“Tempoh diskaun surcaj ini akan bermula seminggu menjelang hari raya dan seminggu selepas raya. Selepas itu harga tiket kembali seperti biasa,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE