Mohd. Pauzi

Setiausaha Majlis Daerah Raub, Mohd. Pauzi Abu Hussaini berkata, projek kitar semula kulit raja buah itu dilakukan sejak awal tahun ini oleh seorang pengusaha yang mengeluarkan produk baja organik di Sungai Ruan di sini.

“Usaha inovasi pengusaha ini dipuji dan terbaik bagi mengatasi lambakan kulit durian di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini yang kadangkala sehingga mencemarkan persekitaran dan gangguan lalu lintas apabila kulit berkenaan dibuang berdekatan jalan raya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, daerah ini merupakan pengeluar durian utama di negara ini dan cukup terkenal dengan jenama durian musang king yang sudah dipasarkan ke luar negara terutama ke China beberapa tahun lalu.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Pertanian pada 2018, katanya, daerah ini sahaja mengeluarkan durian seberat 800 tan metrik pada musimnya manakala 300 tan metrik pengeluaran di luar musim dari ladang seluas 18,233.46 hektar.

“Berasaskan perangkaan ini, kita menganggarkan nilai berat kulit durian iaitu antara 300 hingga 400 tan metrik dibuang oleh pekebun dan penduduk selepas isinya dimakan ketika waktu puncak musim buah ini,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, dengan wujudnya projek pilot pemerosesan kulit durian menjadi baja organik komersial oleh pengusaha swasta di Sungai Ruan itu, ia menjadi antara platform terbaik bagi memenuhi aspirasi kerajaan tempatan melestarikan kebersihan persekitaran serta menjana kesejahteraan penduduk.

“PBT dan syarikat yang mengendalikan kebersihan di sini juga kerap berdepan masalah pelupusan kulit durian setiap kali pada waktu puncak (musim) buah ini termasuk sampah yang sedia ada malah lebih merumitkan ada pihak tidak bertanggungjawab membuang sesuka hati di merata-rata tempat.

“Syarikat milik pengusaha berkenaan sudah pun mengeluarkan baja organik berasaskan kulit durian secara komersial dalam kalangan pekebun di daerah ini manakala PBT di sini merancang untuk menggunakan bahan tersebut untuk kegunaan tanaman landskap,” katanya.