Model ini merupakan ‘abang’ kepada keluarga Passat kerana spesifikasinya yang lebih premium dari segi enjin, kuasa dan dalamannya berbanding adik-adiknya yang lain.

Fizikal luarannya hampir sama dengan adik-adiknya terutamanya Passat Comfortline + yang diuji tahun lalu. Cuma terdapat beberapa penambahan minor bagi membezakannya seperti penggunaan rim aloi Dartford 18 inci, dua paip ekzos berkrom dan sebagainya.

Model premium

Penulis akui model Passat ini lebih menawan yang jelas menunjukkan ia seperti model premium segmen D sedan dari Jerman. Kadang-kala fizikal hadapannya seperti bentuk konvensional yang sesuai untuk eksekutif kanan dan bukannya untuk eksekutif junior.

Passat 2.0 TSI dihiasi lampu utama yang lebih nipis, jaluran bahu memanjang ke belakang dan juga lampu belakang yang turut nipis. Segala-gala­nya le­bih nipis dan lebar menjadikan model ini lebih menawan, cantik dan penuh de­ng­an estetika seni Eropah.

Secara fizikalnya, reka bentuk hadapan yang kelihatan menjunam ke bawah memberi kelebihan untuk mengurangkan kesan rintangan dan menjimatkan penggunaan bahan api. Pada masa yang sama bentuk Passat itu mampu mengekalkan daya graviti yang stabil ketika pemanduan laju.

Jalur gril hadapan berwarna perak menonjolkan imej yang tegap. Tetapi jalur itu juga menampakkan ia seperti sebuah sedan retro yang tenggelam dengan imej sama ada untuk orang muda atau mereka yang sudah berusia.

Cermin hadapan dan belakang disertakan penebat haba dengan bahagian belakang lebih gelap dari hadapan.

Papan pemuka dan sisi pintu dihiasi corak kayu Brilliant Pine. Terdapat lampu ambian putih pada sisi pintu yang menjadikan ruang kabin tidak terlalu suram ketika memandu malam.

Pada tengah papan pemuka ialah skrin sentuh infotainment bersaiz 8 inci dengan lapan speaker. Memang terbaik bunyi yang dihasilkan untuk halwa telinga ketika pemanduan.

Penggunaan warna tema hitam diadun dengan warna kelabu yang memanjang pada papan pemuka menghasilkan aura tersendiri. Terdapat jam analog di tengahnya sebagai identiti khas untuk semua model Passat. Corong pen­dingin hawa utama disepadukan dengan jaluran hitam tersebut.

Kulit Vienna

Kerusi pula adalah jenis balutan kulit Vienna dengan mengikut tekstur tubuh bagi menjadikan badan tidak penat untuk mengharungi perjalanan yang jauh. Penggunaan tiga zon Pure Air Climatro­nic memastikan pendingin hawa membekalkan udara yang bersih dan sihat. Terdapat butang kawalan suhu 3 zon untuk pemandu, penum­pang hadapan dan belakang.

Passat 2.0 TSI ini menampilkan ciri-ciri pemanduan periba­di yang boleh ditetapkan untuk penjanaan kuasa daripada enjin 2.0 liter yang menghasilkan kuasa maksimum 220PS @ 4,500-6,200 rpm. Enjin itu juga menghasilkan kilas maksimum 350Nm @ 1,500-4,400 rpm.

Ujian jalan raya

Oleh kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu, penulis tidak menguji jentera ini ke bandar yang jauh. Medan ujian untuk Passat 2.0 TSI ini ha­nyalah di sekitar Kuala Lumpur (KL) Genting Highlands, Pahang dan juga ke Tanjung Malim, Perak.

Seperti biasa jalan di sekitar bandar raya KL yang banyak berlubang dan berlekuk (walaupun ada yang berpendapat infrastruktur di Malaysia adalah kelas pertama) menjadi ukuran keselesaan jentera ini.

Penggunaan tayar selebar 235/45 R18 nyata banyak membantu mengelak lubang dengan pantas tanpa rasa membuang. Malah ia turut membantu mengharungi selekoh tajam ketika mendaki dan juga membrek dengan pantas bagi mengurangkan kelajuan ketika turun dari Genting Highlands.

Sistem keselamatan aktif seperti Lane Assist yang menyebabkan stereng membelok mengikut garis jalan turut membantu ketika memecut sehingga 180 kilometer sejam (km/j) , Dynamic Chassis Control (DCC), Automatic Post-Collision Braking System dan Electronic Differential Lock (XDS) menjadikan minda memproses Passat sebagai sebuah jentera yang selamat.

Sebagai sebuah jentera yang besar dengan menggunakan platform MQB dan berukuran 4,767 milimeter (mm) panjang, 1,832 mm lebar dan 1,456 tinggi atau 2 mm lebih pendek, 12 mm lebih lebar dan 14 mm lebih rendah jika dibandingkan dengan Passat B7, tetapi penggunaan minyaknya boleh dikagumi.

Dengan tangki minyak menampung 66 liter, ia mampu mengharungi perjalanan sejauh 711.4 kilometer sebelum lampu amaran mengisi minyak menyala dengan baki sejauh 100 kilometer lagi.

Di atas kertas, penggunaan minyak ialah 6.2 liter/100 km dan ia boleh disifatkan agak jimat kerana kuasa pecutannya dari 0-100 km ialah 6.7 saat.

Paddle shifter pada stereng banyak membantu pe­ngen­da­lian. Anda boleh menukar gear rendah dan tinggi pada stereng tanpa menumpukan kepada tombol gear. Penukaran gear yang pantas menjadikan ia jentera yang seronok dikendalikan. Tidak cukup dengan itu, alihkan tombol gear pada mod sport dan anda akan rasakan ledakan kuasanya.

Spesifikasi

Enjin: 2.0 liter TSI

Kuasa maksimum: 
220PS @ 4,500-6,200 rpm

Kilas maksimum: 
350Nm @ 1,500-4,400 rpm

Transmisi: 6 kelajuan DSG

Pecutan 0-100 km/j: 6.7 saat

Kelajuan maksimum: 246 km/j

Penggunaan minyak: 
6.2 liter/100 km

Harga atas jalan: RM200,030 (tidak termasuk insurans)