Peniaga minyak sawit, David Ng berkata, jangkaan eksport yang lemah terus memberi kesan terhadap harga dengan paras sokongan-rintangan ketika ini, masing-masing pada RM2,180 setan dan RM2,250 setan.

Semalam, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melaporkan bahawa simpanan stok jatuh 5.3 peratus daripada bulan sebelumnya kepada 2.25 juta tan, manakala eksport melonjak lebih tinggi daripada jangkaan 16.4 peratus pada Ogos kepada 1.73 juta tan.

Maybank Investment Bank berkata, walaupun eksport kukuh pada Ogos simpanan stok MPOB pada bulan itu mencatatkan penurunan tahun ke tahun yang pertama dalam tempoh 25 bulan, petunjuk positif bahawa inventori sudah tidak lagi lebih daripada cukup berbanding setahun lepas.

Pada September, bank pelaburan menjangkakan eksport MSM akan menurun bulan ke bulan memandangkan sebahagian permintaan dari India akan beralih kepada minyak sawit asli Indonesia kerana pelarasan duti import minyak sawit ditapis pada 50 peratus telah mewujudkan platform urus niaga yang lebih setara bagi syarikat penapis minyak di Malaysia dan Indonesia.

Pada penutupan, kontrak hadapan MSM untuk September 2019 dan Oktober 2019 turun RM19, masing-masing kepada RM2,114 dan RM2,166 setan, November 2019 jatuh RM16 kepada RM2,206 setan dan Disember 2019 susut RM15 kepada RM2,242 setan.

Jumlah dagangan menurun kepada 56,260 lot berbanding 72,119 lot pada Selasa dan kepentingan terbuka merosot kepada 234,500 kontrak berbanding 246,570 kontrak semalam.

Di pasaran fizikal, September Selatan tidak berubah daripada RM2,140 setan pada Selasa. - BERNAMA