AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF
AHMED RAZMAN ABDUL LATIFF 

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pelan perniagaan baharu ini perlu diperhalusi supaya segala idea dan strategi yang dikemukakan adalah relevan dan mampu membawa Malaysia Airlines menghadapi cabaran masa hadapan dan era globalisasi yang penuh dengan turun naik, tidak menentu, kompleksiti serta kekaburan.

“Khazanah perlu memaksimumkan pendapatan Malaysia Airlines di samping mempelbagaikan punca pendapatan. Ia mestilah seiring dengan penjimatan kos dan meningkatkan kadar kecekapan operasi syarikat,

“Setiap aset Malaysia Airlines harus dipastikan mampu menyumbang kepada pendapatan pada kadar yang paling optimum sekali,” katanya kepada Utusan Online ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Izham Ismail bahawa syarikat penerbangan itu mampu kembali berada dalam momentum yang betul berdasarkan pelan perniagaan yang dirangka sejak November lalu.

Pelan perniagaan itu, kata Izham, masih menunggu kelulusan lembaga pengarah Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dijangka diketahui akhir bulan ini atau Julai.

Menurut Izham lagi, pelan itu penting kepada kumpulan dalam memperkukuhkan perkhidmatan premium, menstrukturkan semula kedudukan perniagaan di peringkat domestik dan ASEAN serta menjalin lebih banyak kerjasama misalnya dengan Japan Airlines Co. Ltd. (JAL).

Sementara itu, menurut Ahmed Razman, kerjasama dengan syarikat penerbangan lain seperti JAL harus dilakukan jika ia adalah situasi menang-menang.

Ini kerana, katanya, agak sukar untuk Malaysia Airlines bersaing sendirian jika pesaing-pesaing lain masing-masing telah bekerjasama untuk menguasai pasaran.

“Yang lebih penting ialah memastikan tadbir urus korporat Malaysia Airlines pada tahap yang tertinggi di samping pihak pengurusan yang dibarisi oleh mereka yang pakar dalam bidang penerbangan dan boleh mendatangkan keuntungan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE