Khazanah dalam kenyataannya berkata, pelaburan bersama Malakoff Corp. Berhad (Malakoff) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada 2005 itu merupakan usaha menyokong kemasukan Malaysia ke pasaran pengeluar bebas air dan tenaga di Arab Saudi.

 

Katanya, Khazanah telah berjaya mencapai objektif ko­mersial dalam konsortium ber­kenaan setelah projek tersebut siap dan memulakan operasi.

“Selari dengan perjanjian pemegang saham MSCSB, Kha­zanah telah menawarkan 40 peratus pegangan kepada rakan kongsi sedia ada.

“Malakoff kemudiannya menerima tawaran tersebut sekali gus membolehkan Khazanah melupuskan pegangannya dan memperoleh keuntungan yang baik pada nilai berdasarkan ­aliran tunai masa depan projek berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Ambil alih

 

Minggu lalu, Malakoff Malakoff mengambil alih 40 peratus kepentingan Khazanah dalam (MSCSB) melalui anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Malakoff Gulf Ltd. dengan nilai AS$70 juta (RM287.74 juta).

MSCSB memegang 50 peratus kepentingan dalam Saudi-Malaysia Water & Electricity Company Ltd. yang seterusnya memegang Shuaibah Water & Electricity dan Shuaibah Expansion Project Company (SEPCO) masing-masing sebanyak 60 peratus.

Susulan penjualan itu, terdapat beberapa pihak yang mengkritik keputusan itu kerana kerajaan PH banyak menjual aset negara sejak mengambil alih Putrajaya pada Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, jelas Kha­zanah, pihaknya menilai semua peluang pelupusan berpandukan sasaran kewangan dan strategik yang ditetapkan.

Menurutnya, sesuatu aset itu boleh dipertimbangkan untuk dilupuskan sebaik sahaja matlamat pelaburan serta pulangan yang disasarkan telah dicapai seperti mana pelupusan kepen­tingannya dalam MSCSB.

Mandat

“Sebarang pelupusan juga bergantung kepada keadaan pasaran serta ketersediaan, kualiti dan kredibiliti pihak yang mengambil alih aset tersebut. Menurut mandat yang telah diperbaharui, Khazanah mengendalikan dua dana berbeza iaitu dana komersial dan dana strategik.

“Secara amnya, dana ko­mersial menumpukan kepada mewujudkan portfolio global yang mempelbagaikan aset dan pendapatan Khazanah untuk manfaat negara. Dana strategik pula memberi tumpuan kepada pelaburan domestik strategik terutama dalam bidang ­infrastruktur,” jelasnya.

Mengenai hasil pelupusan dalam MSCSB, Khazanah berkata, hasil tersebut akan dilaburkan semula berdasarkan objektif yang ditetapkan bagi dua dana kendaliannya atau ­digunakan untuk membayar ­balik hutang sedia ada.

“Setakat ini, Khazanah telah melaksanakan pelaburan baharu berjumlah kira-kira RM1.4 bilion serta telah melunaskan kira-kira RM6.4 bilion daripada keseluruhan hutang sejajar de­ngan strategi yang ditetapkan.

“Khazanah menjangkakan akan melaksanakan lagi pelaburan baharu pada separuh kedua tahun ini berdasarkan beberapa peluang pelaburan yang sedang dipertimbangkan,” katanya.