Bermula dengan peralihan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional ke Pakatan Harapan selepas kemenangannya pada Pilihan Raya Umum ke-14, iklim ekonomi dan politik Malaysia terus me­nyaksikan beberapa perubahan.

Dengan berbaki hanya empat hari saja lagi, 2019 bakal menjadi tahun yang mencabar bagi pertumbuhan ekonomi dunia terutamanya di tengah-tengah kebimbangan mengenai pasaran global, harga minyak mentah serta perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Penganalisis daripada pelbagai agensi dalam dan luar negara menjangkakan ekonomi global terus dilanda kelembapan selepas mengalami pertumbuhan terbaik sejak 2010 dan setahun yang lalu.

Malaysia juga tidak terkecuali daripada tempias kitaran ekonomi semasa. Banyak unjuran yang dibuat oleh firma penganalisis termasuklah Bank Dunia menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang pada kadar sederhana di antara 4.5 hingga 4.9 peratus pada 2019.

Perkembangan semasa me­nyak­sikan minyak mentah Brent terus mengalami ketidaktentuan dengan yang terkini penanda aras global itu ber­ada pada AS$53.79 (RM224.4) setong berbanding AS$76.41 (RM319) setong, iaitu paras ter­tinggi yang dicatatkan tahun ini.

Ketidaktentuan harga bahan mentah sedikit sebanyak membimbangkan kerana ia juga akan turut menjejaskan hasil pendapatan negara.

Sebelum ini, Menteri Kewa­ngan, Lim Guan Eng berkata, hasil negara berkurangan susulan pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang digantikan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Pengurangan hasil cukai dapat diimbangi dengan tambahan hasil berkaitan petroleum yang dijangka berjumlah RM5.4 bilion berikutan peningkatan harga minyak mentah purata kepada AS$70 (RM292) setong untuk minyak mentah Brent.

November lalu, Guan Eng juga berkata, kerajaan dijangka mene­rima hasil berjumlah RM261.8 bilion tahun depan, termasuk dividen khas satu kali sebanyak RM30 bilion daripada Petronas.

Namun begitu, dengan kea­daan harga minyak mentah dunia yang terus mengalami ketidaktentuan adakah ini dapat memastikan negara terus memperoleh hasil bagi menampung pertumbuhan fiskalnya?

Bank Dunia sebelum ini turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan kebergantungan ke atas hasil berkaitan minyak yang akan menimbulkan risiko kepada ruang fiskal kerajaan sekiranya terdapat perubahan besar dalam harga atau bekalan minyak mentah dunia.

Menurut Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia oleh Bank Dunia, penyempitan asas pendapatan kerajaan dan peningkatan kebergantungan ekonominya terhadap pendapatan minyak yang kurang stabil membataskan fleksibiliti untuk membuat penyelarasan fiskal terhadap kejutan makroekonomi pada masa depan.

Dalam keadaan turun naik paras harga minyak mentah global semasa dan pada masa hadapan, risiko terhadap penurunan kadar pembayaran dividen oleh Petronas juga boleh berlaku.

Namun begitu, Petronas menerusi kenyataannya susulan pembentangan Bajet 2019 memberi jaminan bahawa pembayaran dividen khas tidak akan menghalang operasinya.

Di sebalik ketidaktentuan harga minyak yang memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi dunia, pengguna turut menerima sedikit kesan positif selepas kerajaan mengumumkan akan menyela­raskan harga runcit pro­duk petroleum termasuk RON95 kepada harga lebih rendah mulai 1 Januari depan.

Penetapan harga jualan runcit produk petroleum secara mingguan itu membolehkan pengguna menikmati perubahan harga yang lebih cepat selaras dengan perubahan harga petroleum di pasaran dunia.

Pengumuman itu sedikit sebanyak memberikan kelegaan kepada pengguna selepas terus bergelut dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Untuk 2019, apa yang diharapkan ialah kerajaan terus memperkukuhkan pengurusan risiko yang mantap untuk menghadapi keadaan persekitaran ekonomi yang tidak menentu ini agar rakyat tidak terus terhimpit dengan kegawatan ekonomi.