Ahli Ekonomi Kanan UOB Research, Julia Goh berkata, pada masa ini, mata wang renminbi mengetuai kejatuhan dalam mata wang Asia yang seterusnya menyebabkan mata wang pasaran baharu muncul yang lain turut terjejas.

“Ringgit berbanding dolar AS menghampiri paras RM4.17 pada pagi ini. Paras yang tertinggi pernah dicatatkan adalah RM4.2020 pada akhir November tahun lalu.

“Pengukuhan dolar AS dan mood berhati-hati di tengah-tengah peningkatan ketegangan perdagangan AS-China telah menekan ringgit,” katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

Ringgit jatuh melebihi lima peratus berbanding dolar AS sejak berapa tahun kebelakangan ini.

Petang ini ringgit ditutup pada RM4.1690 berbanding dolar AS setelah memulakan dagangan pagi pada RM4.1670.

Bagaimanapun, Goh berkata, ringgit bukan mata wang terburuk serantau berikutan mata wang won Korea Selatan dan renminbi turut merekodkan kejatuhan masing-masing sebanyak 11.19 peratus dan 8.48 peratus sejak tahun lalu.

Dalam pada itu, menjelang pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama Malaysia Khamis ini, beliau menjangkakan Malaysia mencatat KDNK lebih perlahan iaitu 4.4 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku keempat 2018.

“Prestasi lemah dalam semua sektor kecuali pertanian merupakan penyumbang utama trajektori lemah bagi prestasi KDNK suku pertama,” katanya.