Ketua Pegawai Eksekutif EPOMS, Anuar Abd Rahman berkata, EPOMS sedang melalui perubahan daripada pembekal perkhidmatan (O&M) konvensional kepada rakan penyelesaian yang efektif berlandaskan konsep ‘Menyediakan Nilai Sebenar’ kepada para pelanggannya.

Katanya, kerjasama tersebut merupakan satu inisiatif yang baik bagi TM melalui TM ONE untuk bekerjasama dengan EPOMS dalam projek yang memberi fokus terhadap pendigitalan.

“Kerjasama digital yang terjalin ini dapat memberi EPOMS teknologi dan sumber-sumber yang diperlukan untuk memacu sistem pengurusan pangkalan data bersepadu kami sedia ada, iaitu MyEPOMSx, dalam perkembangan dan ketersediaan digitalnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Yang turut hadir pada majlis itu baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif TM One, Ir. Ts. Azizi A. Hadi; Naib Presiden, Aset Antarabangsa, Petronas (Huluan) yang juga Pengerusi EPOMS, Mohd. Jukris Abdul Wahab dan Ketua Pegawai Operasi TM, Imri Mokhtar.

TM One adalah unit rumusan bagi Telekom Malaysia Berhad (TM) manakala EPOMS, anak syarikat milik penuh Petronas Carigali Sdn. Bhd.

Kerjasama itu termasuklah pelantikan TM One sebagai satu daripada rakan teknologi rasmi EPOMS dalam menyediakan rumusan digital yang holistik untuk mewujudkan tenaga kerja dan pengurusan data yang lebih terhubung.

Usaha sama tersebut juga bertujuan meningkatkan dan memperkasakan pendigitalan O&M, satu langkah ke arah menjadikan industri minyak dan gas (O&G) lebih produktif, tangkas dan bersedia untuk masa hadapan.

Melalui kerjasama berkenaan, TM One akan membantu dalam ketersediaan sistem digital EPOMS dan memberi penyelesaian teknikal untuk menjadikan EPOMS lebih berdaya saing. - UTUSAN ONLINE